Dalam kemenangan ke atas Terengganu FC semalam, bek tengah Kedah Darul Aman FC, Rodney Calvin telah mengalami kecederaan hingga terpaksa dikeluarkan awal.
Pelanggaran dengan penyerang tuan rumah, David da Silva pada minit ke-27 telah menyebabkan pemain berusia 24 tahun itu terpaksa diusung keluar dan posisinya telah diambil alih seorang lagi pemain muda Kedah, Loqman Hakim selepas itu.
Mujur buat Kedah apabila kehilangan pemain itu tidak mengganggu rentak permainan mereka dan akhirnya berjaya menang 2-1 ke atas pencabar terdekat mereka itu, malam tadi. Ia tiga mata yang penting buat Kedah dalam misi mengejar kedudukan terbaik.
Rodney Calvin merupakan antara tonggak penting pengendali, Aidil Sharin untuk saingan musim ini walaupun beliau hanyalah pemain pinjaman dari Selangor FC.
Kedah telah melalui 16 perlawanan dengan beliau tampil 13 kali dalam skuad utama dengan merekodkan 1170 minit permainan setakat ini. Beliau menjadi tonggak utama sepanjang ketiadaan Renan Alves di awal musim lalu akibat kecederaan.
Sebagai pemain yang mula mendapat kepercayaan Aidil Sharin, tentunya kehilangan beliau akan dirasai dan itulah yang ditekankan pengendali asal Singapura itu.
“Saya tak berapa pasti, tetapi saya dengar dia [Rodney Calvin] jatuh dengan teruk. Saya harap ianya tidak terlalu serius. Dia telah dibawa ke hospital ketika ini dan harapnya ia tidak serius agar dia boleh kembali bermain aksi selepas ini atau kemudiannya.
“Dia adalah tonggak utama pasukan untuk kami,” tegas Aidil Sharin lagi sambil menegaskan kepentingan pemain tesebut dalam setiap perancangan taktikalnya.
Bercakap tentang pengganti Rodney Calvin, Aidil Sharin berkata beliau berpuas hati dengan penampilan Loqman Hakim yang telah beberapa kali diturunkannya.
“Saya berpuas hati dengan Loqman [Hakim], pemain muda yang masuk selepas itu. Dia memberikan persembahan yang baik malam ini. Ketika ini kami mahukan setiap pemain bersedia dan alhamdulillah, setiap pemain yang masuk bermain baik,” jelasnya.
📹 HIGHLIGHTS: @FCTerengganu 1-2 @kda_fc
Kedah Darul Aman FC raih kemenangan berharga menerusi jaringan pertama Rabih Ataya dan Syazwan Zainon musim ini. Terengganu membalas melalui sepakan percuma David da Silva.#LigaSuper2021 pic.twitter.com/0rYuknloAm
— Malaysian Football League (@MFL_MY) August 21, 2021
Kedah berjaya meraih tiga mata penting berdepan Terengganu dalam aksi malam tadi hasil jaringan Rabih Ataya pada penghujung babak pertama, sebelum Syazwan Zainon berjaya menambah gol kedua buat pelawat lima minit selepas babak kedua bermula.
Tuan rumah dilihat cuba bangkit untuk sekurang-kurangnya mengikat kedudukan, namun hanya berjaya mendapat satu gol menerusi ledakan jauh David da Silva berpunca daripada sepakan percuma dari luar kotak penalti di minit ke-70.
“Datang ke sini berdepan Terengganu bukanlah tugas mudah. Kami datang ke sini dengan misi untuk mendapat satu mata tetapi ini adalah satu bonus [menang]. Ini baik untuk momentum dan menanam kepercayaan kemampuan mereka dalam diri mereka.
“Saya telah berbincang dengan pemain dan mereka bersetuju yang kami akan fokus perlawanan demi perlawanan. Jadual kami sangat padat dan tidak mudah untuk kami merancang dan mensasarkan kedudukan kedua liga,” ujarnya tentang perlawanan.