Hari ini dikenang sebagai antara hari yang paling menyedihkan di dalam bola sepak apabila Diego Maradona disahkan meninggal dunia genap setahun yang lalu.
Pemergian ikon bola sepak dunia itu memberikan kesan hampir kepada seluruh komuniti bola sepak dunia. Malah sehingga ke hari ini, setiap penampilan dan kenangan bersama Maradona masih lagi dikenang dan menitip bibir peminat dari generasi ke generasi.
Diego Maradona dianggap sebagai salah seorang pemain bola sepak terhebat sepanjang zaman sehingga ke hari ini. Penampilannya sering kali menjadi tumpuan dan disanjung – termasuk di Malaysia.
Namun ini kisah 39 tahun yang lalu yang disingkap kembali dan mungkin ramai yang tidak mengetahuinya.
Supermokh dan Maradona
Jika Argentina memiliki Maradona sebagai ikon bola sepak mereka, negara kita juga tidak kurangnya dengan kehadiran SuperMokh.
Benar. Jika pencapaian di pentas antarabangsa menjadi ukuran maka apa yang kita temui hanyalah sekadar perbezaan besar di antara kedua-duanya.
Namun bola sepak bukan sahaja dinilai dari segi pencapaian. Malah kedua-duanya juga memiliki persamaan terutama ketika aksi di atas padang.
#Supermokh and #handsofgod . Symbol in uniting mankind. #Maradona pic.twitter.com/HcqTWJqPSJ
— Dr a day (@NirOneday) November 26, 2020
Antaranya ialah peranan dan corak permainan kedua-dua pemain yang mempunyai persamaan. Seperti Maradona, Mokhtar Dahari juga terkenal dengan kelincahan dan rembatan deras ke arah gawang.
Dikenali sebagai seorang “advanced playmaker“, Diego Maradona dan Mokhtar Dahari adalah pemain No.10 klasik!
Dan seperti yang kita semua tahu, kedua-dua pemain pernah bersemuka antara satu sama lain di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada tanggal 12 Januari 1982.
Jemputan Selangor XI vs Boca Juniors curi perhatian
Tarikh 12 Januari 1982 boleh dianggap sebagai antara tarikh penting dan bersejarah di dalam bola sepak Malaysia.
Bukan kebiasaan untuk melihat pemain bola sepak ternama dunia bertandang ke ibu kota untuk perlawanan persahabatan antarabangsa.
Apatah lagi kelab dengan nama besar seperti Boca Juniors dengan pemain-pemain seperti Diego Maradona, Hughie Alves, Pasucci, Ruggeri, Benitez Krasouski, Marito Zanabria, Gareca, dan Perotti Mono di dalam pasukan pada ketika itu.
What you leave behind is a memory of a great name and legacy of great examples.
Thank you for the beautiful game, as for this, it will live on forever.
Rest in peace, Diego. ❤️ pic.twitter.com/nwEHIRliTJ
— Selangor FC (@selangorfc) November 25, 2020
Bersandarkan kekuatan lawan, Selangor FA kemudiannya turut menjemput dua bintang bola sepak Asia Tenggara iaitu Fandi Ahmad dari Singapura, dan Piyapong Pue-On yang pada kemudiannya beraksi bersama pasukan Pahang FA sebagai pemain import pada lewat 80 an.
Disebabkan kehadiran Maradona dan adanya pemain negara jiran, maka perlawanan tersebut mendapat liputan meluas media dan turut dirasai di negara jiran, Singapura dan Thailand, yang turut menanti-nantikan perlawanan tersebut.
Malah khabar turut sampai ke kem Boca Juniors bahawa Selangor FA akan memberikan tentangan sengit dalam perlawanan tersebut.
Sebelum ke Malaysia, Boca Juniors FC telah mengadakan pertemuan dengan El Savador FC di Los Angeles (menang 2-0) dan Seiko FC di Hong Kong (juga menang 2-0).
Diego Maradona dan Boca Juniors tidak disenangi?
Perlawanan ini sememangnya menjadi tumpuan kerana kehadiran Maradona. Namun adakah benar penyokong Malaysia benar-benar obses akan pemain tersebut.
Pada era ini kita boleh melihat bagaimana obsesnya peminat bola sepak di Malaysia terhadap pasukan dan pemain dari luar negara. Sokongan oleh peminat terhadap kehadiran pasukan seperti Liverpool, Manchester United dan Barcelona sebelum ini telah membuktikannya.
Sebaliknya perspektif diberikan oleh peminat dan penyokong bola sepak tanah air pada ketika itu terhadap Boca Juniors dan Maradona amat berlainan.
Ini kerana Maradona dikatakan sombong dan polisi kelab turut dikritik ekoran kawalan ketat yang diberikan kepada pemain bintang mereka sehingga menyebabkan mereka tidak dapat mendekati pemain.
A photo of Diego Maradona wearing a @selangorfc's shirt, while chilling out at Subang Airport.
📸: Via FB Hall of Fame Selangor. pic.twitter.com/yRlvizHZgp
— theBOLABOLAshow (@theBOLABOLAshow) November 27, 2020
Sebuah artikel dari The Edge pernah mengisahkan bagaimana sikap acuh tak acuh Maradona terhadap peminat. Seorang peminat yang sudah lama menunggu untuk mendapatkan autograf kononnya telah dinafikan oleh pengawal keselamatan, sebelum diberikan sekeping gambar Maradona yang sudah siap ditandatangan dan dihalau.
Selain peminat, wartawan bertugas yang membuat liputan untuk perlawanan tersebut turut sukar untuk mendapatkan akses yang diperlukan. Ia bukan menghairankan dan ia juga mungkin berlaku atas isu keselamatan.
90 minit yang sengit
Agak mengejutkan ramai kerana dalam perlawanan tersebut Selangor telah mendominasi keseluruhan 15 minit pertama perlawanan dengan asakan bertali arus.
Terdapat juga laporan mengatakan Selangor akan diberikan peluang untuk beraksi perlawanan timbal balik di Buenos Aires jika merekodkan kemenangan di Kuala Lumpur.
Perkara tersebut mungkin menjadi motivasi buat skuad Red Giants yang turut dibarisi pemain seperti R. Arumugam, Santokh Singh, dan Soh Chin Aun.
Pemain pertahanan legenda Selangor, Santokh Singh berdepan Diego Maradona dalam perlawanan antara Pilihan Selangor menentang Boca Juniors pada Jan 1982.
Berapakah keputusan perlawanan ini dan siapakah yang menjaringkan gol tunggal #RedGiants?#KitaAdalahSatu pic.twitter.com/EUpaUzBUcl
— Selangor FC (@selangorfc) March 19, 2020
Hasilnya Fandi Ahmad memberikan gol pendahuluan untuk Selangor hanya selepas tiga minit perlawanan berlangsung, apabila pemain antarabangsa Singapura itu menyambar hantaran hasil sepakan sudut Jamaluddin Norbit untuk menewaskan Carlos Alberto Rodriguez di hadapan gawang.
Gol tersebut disambut dengan meriah oleh tidak kurang 25,000 hadirin yang hadir. Pada ketika itu tiada siapa akan menyalahkan mereka untuk percaya Selangor mampu melakar kejutan.
Gambar ketika Jemputan Selangor menentang Boca Juniors pada 1982. Fandi Ahmad(SIN) & Piyapong Pue-On(THA) turut serta pada perlawanan ini. pic.twitter.com/Zs9N8Q0Tn2
— TRIVIA BOLA (@twt_trivia_bola) October 27, 2016
Masuk minit ke-18, pemain yang dikenali dengan gelaran “El Pibe de Oro” bermaksud “Budak Emas” mulai menampilkan kemampuan sebenarnya.
Hantaran through pass yang dihantarnya menemui Carlos Cardoba untuk disudahkan.
Dan selepas sejam perlawanan berlangsung, Maradona menewaskan R.Arumugam dalam situasi satu lawan satu.
Tetapi sikap Boca Juniors dan Maradona pada ketika itu telah membuatkan ramai penyokong yang hadir ke Stadium Merdeka pada malam tersebut seperti disentap jiwa mereka.
Akibatnya, gol jaringan Maradona dalam perlawanan tersebut tidak diraikan. Majoriti penyokong yang hadir berdiam – sebagai protes – dan akhbar tempatan pada keesokannya pula tampil dengan tajuk akbar: “Prima Mara Dona!”
Penutup
Sejurus selepas Piala Dunia 1982, Diego Maradona melengkapkan perpindahan rekod dunia ketika itu dengan nilai £5 juta ke Barcelona.
Pada 1986 adalah kemuncak sebenar karier Maradona. Di mana dia mengepalai negaranya menjulang Piala Dunia 1986 di Mexico.
Kita semua tahu bagaimana masalah yang dihadapi oleh Maradona di luar padang. Apa pun kisahnya, bola sepak pada hari ini telah kehilangan seorang permata.
Biarlah penampilan beliau bersama SuperMokh menjadi kenangan abadi dalam sejarah bola sepak negara buat selama-lamanya.