Aksi pemain sayap Harimau Malaya, Adib Ra’op antara wajar untuk menerima pujian ramai walaupun skuad kebangsaan gagal untuk melayakkan diri secara automatik ke saingan Piala Asia 2027.
Dibawa masuk pada pertengahan separuh masa kedua, Adib tidak mengambil masa yang lama untuk memberi impak cukup besar di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) ketika berdepan aksi kedua peringkat antarabangsa.
Jika perlawanan lalu tidak banyak dapat diperkatakan mengenai aksi pemain Penang ini selepas beliau dibawa masuk pada penghujung perlawanan sewaktu menenyang Kyrgyzstan.
Namun, aksi kali ini Adib diberi peluang beraksi lebih awal dan berjaya mempamerkan kualiti permainan cukup menyakinkan, sekali gus menghidupkan lagi jentera serangan Harimau Malaya.
Beraksi di sayap kiri, gandingan antara Adib bersama Corbin Ong jelas berjaya menghuru harakan pertahanan Taiwan menerusi kelincahan beliau untuk mengawal bola.
Malah, pemain berusia 24 tahun ini juga langsung tidak gugup serta banyak menghasilkan hantaran-hantaran berbahaya ke dalam petak penalti demi membantu rakan sepasukan.
Bonus, Adib berjaya memastikan penampilan kedua beliau buat skuad kebangsaan wajar menerima pujian ramai selepas beliau meledak gol ketiga buat pasukan kebangsaan selepas ketenangannya mengatasi cabaran penjaga gol Taiwan.
Lincah, kreatif, pantas, serta tajam di hadapan gol menjadi satu pakej terbaik buat Adib kini untuk terus menyakinkan Kim Pan-gon bersama skuad kebangsaan.
Di media sosial, segelintir penyokong juga sudah pun menganggap Adib sebagai pelapis terbaik untuk mengisi kekosongan ditinggalkan oleh bintang Harimau Malaya, Faisal Halim.
Kelincahan beliau ketika mengatasi pertahanan lawan dianggap seakan sama seperti ditampilkan oleh Faisal sebelum itu di pentas antarabangsa.
Melihat kepada usia Adib yang masih dianggap muda, ini menjadi peluang terbaik buat beliau untuk terus tampil konsisten pada aksi mendatang demi terus menempatkan diri buat pasukan kebangsaan.
Selain aktif di posisi sayap, Adib juga boleh dijadikan sebagai pelan kedua buat Kim selepas pemain ini turut memiliki kemampuan cukup baik di bahagian pertahanan kiri serta sudah pun dibuktikan beliau.
Apapun, kami di Semuanya BOLA mengucapkan tahniah buat Adib yang berjaya menampilkan aksi sulung cukup bertenaga di SNBJ dengan turut menjadi sebahagian penting menyumbang kejayaan Malaysia.