“Dia akan jadi penyerang No.1 kami di Sukan SEA,” tegas pengendali skuad B-23 Thailand, Issara Sritaro mengenai pemainnya, Teerasak Poeiphimai.
Teerasak bukanlah nama asing untuk skuad muda Thailand apabila pernah membantu mereka muncul naib juara di Kejohanan Piala AFF B-23 2022, malah dinobatkan sebagai penjaring terbanyak di edisi ketiga tersebut.
Thailand tewas kepada Vietnam di pentas final dengan keputusan 0-1.
Mungkin banyak pihak mengatakan skuad ini akan melalui masa sukar dengan ketiadaan penyerang sensasi, Suphanat Mueanta yang tidak mendapat pelepasan disebabkan sedang bersedia ke Leicester City.
Buriram United hanya tidak melepaskan Suphanat ke Sukan SEA kerana perlu berangkat ke Leicester sebaik sahaja saingan Thai League 1 berakhir.
🚨 BREAKING
Suphanat Mueanta to Leicester City is happening this summer. But he’ll have to sort out his work permit in Belgium first.
👉🏼 https://t.co/r0E8SMw8UJ pic.twitter.com/wckdhtRAnr
— Ta Lao (@talao_) April 10, 2023
Dikhabarkan penyerang berusia 20 tahun itu bakal ditawarkan kontrak bersama kelab tersebut, namun akan terlebih dahulu dipinjamkan ke OH Leuven di Belgian Pro League (Liga Belgium) permulaan musim depan.
Namun, pengendali, Issara dilihat tidak tergugat, malah lega apabila mereka masih memiliki seorang lagi penyerang terbaik, Teerasak untuk diandalkan.
“Kami sangat gembira Teerasak [Poeiphimai] akan bersama kami, dia akan jadi penyerang No.1 kami di Sukan SEA,” ujar Issara mengenai Teerasak.
Malah, seorang lagi pemain harapan, Jonathan Khemdee turut tersenarai.
ASEAN Football Legend
🇹🇭Teerasil Dangdapic.twitter.com/tXKLH5obyp
— Regista (@registaco) December 26, 2022
Dengan label ‘The Next’ Teerasil Dangda, tentunya bakatnya sedang menjadi perhatian di Thai League 1. Bermain bersama Port FC, Teerasak telah tampil 23 kali dan meledak lapan gol di pentas tertinggi bola sepak Thailand. Di saingan Piala FA, beliau telah mencetak tiga gol dalam lima penampilan.
Begitupun, bagi penyerang kelahiran Nakhon Ratchasima ini, segalanya sangat pantas buat dirinya selepas menyertai Surasakmontree School yang pada ketika ini memiliki antara pasukan bola sepak yang terbaik di Thailand.
Tetapi, beliau hanya mula bermain bola sepak pada usia 16 tahun. Sebelum itu, beliau banyak bermain futsal dan bola sepak lima serta tujuh sebelah.
Beliau dilamar Prime Bangkok untuk bermain di Thai League 3 musim 2020 sambil meneruskan pengajiannya. Beliau mencipta sejarah penjaring hatrik termuda dan penjaring termuda di Thai League 3 di usia 18 tahun 23 hari.
Bermain 13 perlawanan, Teerasak mencipta sembilan gol sebelum liga terhenti akibat Covid-19. Ia sesuatu yang membanggakan dirinya untuk penampilan pertama secara profesional di pentas bola sepak Thailand.
“Saya mahu jadi seperti idola saya, Teerasil Dangda. Seperti mana-mana pemain bola sepak, saya juga mahu beraksi bersama skuad kebangsaan,” ungkapnya satu ketika dahulu sebelum mendapat kaps pertama skuad senior pada September lalu di King’s Cup berdepan Trinidad dan Tobago.
Untuk rekod, beliau tidak pernah berada dalam skuad B-16 dan B-18 Thailand. Teerasak hanya mula beraksi di pentas B-23 pada tahun 2021.
Dalam aksi pertama Kumpulan B, Sukan SEA 2023, penyerang berusia 20 tahun itu sudah mencipta gol pertama ketika membenam Singapura 3-1. Selepas ini, Thailand akan bertemu Malaysia, pada Sabtu petang.