“Dia Ada Segalanya” – Foden Ramal Jude Bellingham Bakal Jadi Pemain Tengah Terbaik Dunia

Nama Jude Bellingham sekali lagi menjadi sensasi dalam dunia bola sepak, dan terbaharu pemain tersebut terus menjadi fenomena dalam kalangan penyokong, ekoran aksi positifnya bersama England.

Bersama England dalam aksi Piala Dunia 2022 di Qatar, aksi Bellingham sering mendapat pujian daripada para penyokong, dan semalam beliau berjaya membantu pasukannya meraih kemenangan 3-0 untuk mengatasi Senegal dalam pusingan 16 terbaik.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Al Bayt semalam, Bellingham bersama rakan sepasukan berjaya mempamerkan aksi yang sangat baik untuk menempatkan diri ke pusingan suku akhir dan bakal membuat perhitungan bersama Perancis.

Walaupun bermula dengan agak hambar, England berjaya mendapatkan dua gol awal perlawanan menerusi tonggak senior iaitu Jordan Henderson serta penyerang profilik, Harry Kane.

Menerusi dua gol tersebut, Bellingham menjadi watak penting untuk menjadi individu yang memainkan peranan besar bagi membantu kedua pemain tersebut memperoleh jaringan.

Dalam masa 10 minit penghasilan dua gol semalam, segala gerakan berpunca daripada pemain ini yang dilihat berada dalam prestasi terbaik untuk menjadi jantung utama England.

Beliau mencipta satu larian yang sangat bijak pada minit ke-38 untuk melepasi blok pertahanan Senegal dan mencipta peluang kepada Henderson meledak gol.

Pada waktu tambahan separuh masa pertama, Bellingham sekali lagi menjadi faktor utama buat England untuk terus mengecewakan Senegal menerusi gerakannya yang lincah bersama Phil Foden untuk membuka ruang buat Kane mendapatkan gol kedua pasukan.

Ianya bukan sesuatu yang normal jika dilihat pada usianya yang baru mencecah 19 tahun dan menjadi pengaruh besar untuk England mendapatkan gol dalam temasya yang berprestij itu.

Jika dilihat secara keseluruhan, Bellingham kini boleh dianggap sebagai salah satu pemain tengah paling menonjol dunia, walaupun tampil dengan usia yang masih muda.

Beliau memberikan segalanya diperlukan oleh England untuk menghidupkan jentera tengah serta tampil sebagai ancaman utama dalam penghasilan gol buat pasukan.

Malah, rakan sepasukannya iaitu Foden juga menganggap Bellingham kini sebagai antara pemain tengah terbaik dunia yang memiliki pakej serba lengkap.

“Saya tak mahu untuk terlalu menjulang nama beliau kerana usianya masih lagi muda, tetapi dia pemain paling berbakat besar pernah saya jumpa.

“Saya tak lihat walau sedikit sisi kelemahan beliau dalam permainan, pada pendapat saya Bellingham memiliki segalanya yang cukup dan bakal menjadi pemain tengah terbaik dunia,” jelas Foden menerusi Sport Bible.

Seperti diketahui ramai, Foden antara pemain yang bertuah kerana beraksi bersama barisan bintang tengah terbaik dunia bersama Manchester City seperti Ilkay Gundogan, Kevin de Bruyne, dan Bernardo Silva.

Sumber:
Sports Bible

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN