Devan Sudah Jawab, Tapi Penyokong Tetap Tuntut Penjelasan Punca Goulon ‘Hilang’ Tiap Kali Berdepan JDT

Herold Goulon Negeri Sembilan 'hilang' JDT

Herold Goulon ‘hilang’ lagi ketika berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan natijahnya Negeri Sembilan FC telah dibelasah teruk di Paroi, pada Isnin.

Sebelum ini, penyokong sudah meminta penjelasan mengapa Goulon tidak berada dalam senarai pemain yang telah diturunkan bagi berdepan JDT.

Dan, pengendali, K Devan sudah tampil memberi penjelasan tentang ketiadaan pemain import tinggi lampai itu dalam perlawanan yang menyaksikan The Jangs tewas 0-7 dalam aksi minggu ke-3 Liga Super.

Bukan [Herold] Goulon sahaja. Kita main dengan dua import. Dan hari ini kalau kita tengok, serangan kita pun tidak efektif,” ujar Devan tentangnya.

Saya rasa bukan Goulon sahaja [tidak cergas]. Yang penting kita perlu tingkatkan kondisi fizikal pemain kita yang mana pemain-pemain yang lewat masuk iaitu pemain import perlu berada dalam tahap kecergasan yang baik. Dan kita perlu ada kesefahaman yang baik [antara pemain],” tambahnya.

Kenyataan Devan di sidang media itu seperti menjelaskan yang bek tengah berusia 34 tahun itu tidak cergas sepenuhnya untuk diturunkan beraksi.

Malah, Casagrande juga turun dalam keadaan tidak cergas sepenuhnya.

Namun, penjelasan ringkas pengendali tersebut tidak disambut dengan baik oleh para penyokong. Ini kerana, mereka hairan dengan situasi pemain itu.

Menurut beberapa komen penyokong yang dilihat di alam maya, mereka mempersoalkan adakah setiap kali berdepan JDT, Goulon jadi tidak cergas?

Pemain kelahiran Perancis itu menyertai Negeri Sembilan dari Sri Pahang pada musim lalu. Menurut rekod, Goulon tiada dalam senarai pemain dalam perlawanan antara kedua-dua pasukan, musim lalu. Mereka tewas kedua-dua perlawanan, 0-1 di laman sendiri dan 0-5 di Stadium Sultan Ismail.

Musim lalu, beliau tampil bermain dalam 19 perlawanan dan tidak bermain dalam tiga perlawanan – dua daripadanya ketika berdepan dengan JDT.

Mengapa beliau tiada setiap kali berdepan JDT? Ini adalah maklumat yang dimahukan oleh penyokong. Adakah musim lalu, beliau tidak cergas juga?

Menurut perkongsian laman Twitter penyokong, The Jangs, mereka langsung tidak mengaitkan JDT sebagai punca apabila mempersoalkan kehilangan pemain itu. Apa yang mahu mereka ketahui adalah, mengapa Goulon akan ‘hilang’ apabila mereka berdepan JDT? Ini persoalannya.

Apa guna bayar gaji pemain import yang tujuannya untuk memberi nilai tambah pada pasukan kalau dia tiba-tiba tidak boleh main?” ciap mereka.

Tunggu ‘away game’ nanti. Kalau tidak boleh main juga, lengkap dua musim dia hilang bila lawan JDT,” tambah ciapan oleh laman Twitter tersebut.

Tidak dinafikan, Goulon adalah tonggak penting pasukan waima ketika bersama Sri Pahang mahupun Negeri Sembilan. Aksi kentalnya di benteng seringkali menjadi penyelamat pasukan di saat-saat mereka perlukan.

Dengan fizikal yang besar dan tinggi, beliau akan sentiasa menjadi pemain harapan dalam menyerap asakan lawan selain dalam situasi bola mati.

Oleh itu, kenapa Goulon kerap ‘hilang’, hanya apabila berdepan JDT?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN