Herold Goulon ‘hilang’ lagi ketika berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan natijahnya Negeri Sembilan FC telah dibelasah teruk di Paroi, pada Isnin.
Sebelum ini, penyokong sudah meminta penjelasan mengapa Goulon tidak berada dalam senarai pemain yang telah diturunkan bagi berdepan JDT.
Dan, pengendali, K Devan sudah tampil memberi penjelasan tentang ketiadaan pemain import tinggi lampai itu dalam perlawanan yang menyaksikan The Jangs tewas 0-7 dalam aksi minggu ke-3 Liga Super.
Kepada yang kirim soalan semalam, ini penjelasan K. Devan mengenai ‘kehilangan’ Herold Goulon pada pertemuan menentang JDT.
Tak fit sepenuhnya gaiiissszz
@ASTROARENA#DemiLigaKita pic.twitter.com/C9fZX2Iruj
— karlnunis (@_karlnunis) March 7, 2023
“Bukan [Herold] Goulon sahaja. Kita main dengan dua import. Dan hari ini kalau kita tengok, serangan kita pun tidak efektif,” ujar Devan tentangnya.
“Saya rasa bukan Goulon sahaja [tidak cergas]. Yang penting kita perlu tingkatkan kondisi fizikal pemain kita yang mana pemain-pemain yang lewat masuk iaitu pemain import perlu berada dalam tahap kecergasan yang baik. Dan kita perlu ada kesefahaman yang baik [antara pemain],” tambahnya.
Kenyataan Devan di sidang media itu seperti menjelaskan yang bek tengah berusia 34 tahun itu tidak cergas sepenuhnya untuk diturunkan beraksi.
Malah, Casagrande juga turun dalam keadaan tidak cergas sepenuhnya.
Namun, penjelasan ringkas pengendali tersebut tidak disambut dengan baik oleh para penyokong. Ini kerana, mereka hairan dengan situasi pemain itu.
Ramai fans kata Herold Goulon tiba-tiba sakit bila hampiri match vs JDT.
Menarik utk kita perhati match2 sebelum. Ikuti thread ini. #MSL2023 pic.twitter.com/g8daSR2ZvE
— Kejar Bola (@kejar_bola) March 7, 2023
Menurut beberapa komen penyokong yang dilihat di alam maya, mereka mempersoalkan adakah setiap kali berdepan JDT, Goulon jadi tidak cergas?
Pemain kelahiran Perancis itu menyertai Negeri Sembilan dari Sri Pahang pada musim lalu. Menurut rekod, Goulon tiada dalam senarai pemain dalam perlawanan antara kedua-dua pasukan, musim lalu. Mereka tewas kedua-dua perlawanan, 0-1 di laman sendiri dan 0-5 di Stadium Sultan Ismail.
Musim lalu, beliau tampil bermain dalam 19 perlawanan dan tidak bermain dalam tiga perlawanan – dua daripadanya ketika berdepan dengan JDT.
Mengapa beliau tiada setiap kali berdepan JDT? Ini adalah maklumat yang dimahukan oleh penyokong. Adakah musim lalu, beliau tidak cergas juga?
Menurut perkongsian laman Twitter penyokong, The Jangs, mereka langsung tidak mengaitkan JDT sebagai punca apabila mempersoalkan kehilangan pemain itu. Apa yang mahu mereka ketahui adalah, mengapa Goulon akan ‘hilang’ apabila mereka berdepan JDT? Ini persoalannya.
Tahun lepas game dekat home kata cedera. Main dekat SSI katanya simpan pemain untuk game lain. Kali ni alasan pemain tak fit. Nanti kito tunggu apo pula alasan main dekat SSI. Paling tidak pun kalau taknak nampak bangang, sebelum lawan JDT kau dapatkan red card dulu.
— TJs (@TheJangsN9) March 7, 2023
“Apa guna bayar gaji pemain import yang tujuannya untuk memberi nilai tambah pada pasukan kalau dia tiba-tiba tidak boleh main?” ciap mereka.
“Tunggu ‘away game’ nanti. Kalau tidak boleh main juga, lengkap dua musim dia hilang bila lawan JDT,” tambah ciapan oleh laman Twitter tersebut.
Tidak dinafikan, Goulon adalah tonggak penting pasukan waima ketika bersama Sri Pahang mahupun Negeri Sembilan. Aksi kentalnya di benteng seringkali menjadi penyelamat pasukan di saat-saat mereka perlukan.
Dengan fizikal yang besar dan tinggi, beliau akan sentiasa menjadi pemain harapan dalam menyerap asakan lawan selain dalam situasi bola mati.
Oleh itu, kenapa Goulon kerap ‘hilang’, hanya apabila berdepan JDT?