Pengendali Negeri Sembilan, K. Devan mengakui kualiti pemain antara pasukannya dengan Selangor menjadi faktor utama mengapa mereka gagal bangkit dalam perlawanan kedua di suku akhir Piala Malaysia.
Baginya, jika Negeri Sembilan dapat menurunkan kesebelasan utama yang terbaik, sudah pasti dapat memberi saingan lebih elok terhadap lawan mereka.
Namun begitu, barisan kedua yang diturunkan jelas kelihatan perbezaan kualiti pemain yang mereka ada.
Sementara Selangor pula mempunyai pemain yang lebih baik sama ada skuad utama mahupun kedua.
Ia ditambah pula apabila Devan kehilangan lima tonggak penting sekali gus menyukarkan misi kebangkitan di Paroi.
Walaubagaimana pun, beliau tetap bangga kerana para pemain berjaya mengikat Selangor di halaman sendiri dan bangkit dari ketinggalan untuk mendapatkan jaringan tanpa berputus asa.
“Gol awal dari Selangor sedikit sebanyak merencatkan perancangan kita dan jika ia dapat dielakkan, saya rasa kita boleh buat sesuatu dalam perlawanan ini,” katanya.
Keputusan seri 2-2 dalam perlawanan kedua ini memadai bagi beliau dengan pemain yang mereka ada jika dibandingkan dengan Selangor menurunkan skuad lebih mantap.
Pengendali berusia 61 tahun ini juga mengulas berkenaan perancangan musim hadapan dan memandangkan Negeri Sembilan sebuah pasukan berbelanja mengikut bajet yang ada, sudah pasti untuk membawa masuk pemain bintang ke dalam pasukan sesuatu perkara sukar.
Namun beliau berharap akan ada beberapa pemain berkualiti dibawa masuk agar perbezaan antara pemain utama dan skuad kedua tidak begitu ketara seperti mana berlaku dalam perlawanan menentang Selangor.
Antara posisi yang harus diberi perhatian serius adalah bahagian tengah dan bahagian serangan selain mengharapkan pemain import yang dipilih nanti lebih baik dari semua aspek.
Dari segi sasaran, Devan tetap berpuas hati kerana berjaya menduduki tempat ke-4 Liga Super dan layak ke suku akhir Piala Malaysia biar pun mereka adalah pendatang baharu tetapi mampu memberi saingan kepada pasukan lain.
Negeri Sembilan antara pencabar utama dalam pemburuan slot ke Piala AFC musim hadapan dan mereka bersaing bersama Terengganu serta Sabah sehingga ke penghujung musim.