Detik Kemunculan Pertama Evan Dimas, ‘Anak Ajaib’ Sang Garuda

Tanggal 28 November, hari ini, tiga tahun lalu, Evan Dimas telah membuat kemunculan pertama bersama skuad senior Indonesia dalam kejohanan Piala AFF 2014, pada usia 19 tahun.

Indonesia gagal melepasi peringkat kumpulan pada ketika itu apabila hanya mengumpul empat mata daripada tiga perlawanan dan Evan Dimas hanya diturunkan pada perlawanan terakhir kumpulan, menentang Laos.

Dalam perlawanan tersebut, Indonesia menang besar 5-1 dan Evan Dimas telah menjaringkan gol pertama buat Indonesia dan dirinya pada awal babak pertama. Selain itu, dia turut menyumbang satu assist.

‘Anak Ajaib’ Indonesia

Evan Dimas ketika menyertai ‘The Chance’. Foto: Bola.net

Impak segera yang cukup baik buat pemain berusia 19 tahun ketika itu dalam kemunculan pertamanya dalam skuad senior. Evan Dimas kini beraksi bersama juara baharu Liga 1, Indonesia, Bhayangkara FC.

Pemain muda ini pernah digelar sebagai ‘anak ajaib’ dikalangan rakan-rakan sepasukan di kelab lamanya iaitu SSB Mitra Surabaya dan Persebaya Surabaya.

Mula bermain bola sepak pada usia 10 tahun, Evan Dimas dilahirkan oleh Sekolah Sepak Bola (SSB) Mitra Surabaya. Di situlah, dia mula mendapat gelaran ‘anak ajaib’ dek kerana bakatnya.

Dia juga boleh dikatakan antara bakat terbaik di Indonesia selepas Andik Vermansyah dan dilabel oleh media Indonesia sebagai pemain bolasepak era moden Indonesia.

Evan Dimas dan Andik Vermansyah. Foto:Bola.com

Pada 2014, Goal.com telah meletakkan Evan Dimas pada kedudukan teratas dalam senarai 20 pemain muda terbaik ASEAN. Pemain muda negara yang turut tersenarai ketika itu adalah Nazmi Faiz Mansor dan Sean Gan Giannelli.

Berikut adalah senarai tersebut:

1. Evan Dimas – Indonesia (19 tahun)
2. Nub Tola – Cambodia (19 tahun)
3. Irfan Fandi Ahmad – Singapore (17 tahun)
4. Chanathip Songkrasin – Thailand (21 tahun)
5. Adam Swandi – Singapore (18 tahun)
6. Ronilo Jr Vallez Bayan – Philippines (19 tahun)
7. NAZMI FAIZ MANSOR – MALAYSIA (20 tahun)
8. Tom Rogic – Australia (21 tahun)
9. Teja Paku Alam – Indonesia (20 tahun)
10. Si Thu Aung – Myanmar (18 tahun)
11. Nguyen Van Toan – Vietnam (18 tahun)
12. Connor Pain – Australia (20 tahun)
13. SEAN GAN GIANNELLI – MALAYSIA (18 tahun)
14. Lembo Saysana – Laos (19 tahun)
15. Faiq Jefri Bolkiah – Brunei (16 tahun)
16. Thanasit Siriphala – Thailand (19 tahun)
17. Adelino Trindade – Timor Leste (19 tahun)
18. Gavin Kwan Adsit – Indonesia (18 tahun)
19. Mahathir Azeman – Singapore (18 tahun)
20. Nguyen Cong Phuong – Vietnam (19 tahun)

Mahu Jadi Contoh Dan Senangkan Keluarga

Evan Dimas ketika mewakili skuad B-17 Indonesia. Foto: ANTARA/M Risyal Hidayat

Anak kepada kakitangan keselamatan, keluarganya bukanlah daripada golongan yang berada. Namun, semangat luar biasanya ketika bermain bola telah menarik minat banyak pihak.

Menjadi kapten buat skuad B-17 dan B-19 Indonesia telah menambah reputasi baiknya di kalangan pemain-pemain muda. Disamping aksi yang baik, dia juga memiliki lagak seorang kapten yang dihormati.

Disamping itu, Evan Dimas juga pernah terpilih untuk menyertai program pencarian bakat, ‘The Chance’ dan telah mendapat tunjuk ajar daripada pengurus Manchester City, Pep Guardiola.

Menurutnya, selepas pulang dari program itulah baru timbul kesedaran pada dirinya untuk seimbangkan antara bola sepak dan juga pelajaran. Dia kini merupakan pelajar di Universiti Dr Soetomo, jurusan Pentadbiran Awam.

Evan Dimas di ‘The Chance’. Foto: Newsrod

“Cita-cita saya cuma ingin menyenangkan orang tua. Setiap hari saya selalu diberikan semangat. Mereka selalu cakap, jangan sampai sombong, harus rendah hati. Perjalanan masih panjang.

“Mereka juga selalu mengingatkan, jangan sampai lupa solat lima waktu. Pesanan itu yang selalu saya tanamkan dalam diri saya,” ujarnya yang meminati pemain Barcelona, Andres Iniesta.

“Boleh dikatakan saya adalah contoh ikutan buat adik-adik saya. Kerana mereka masih kecil. Ayah selalu cakap, tunjuk contoh yang baik kepada adik-adikmu,” tambahnya lagi.

Evan Dimas Ke Selangor Atau Kekal Di Indonesia?

Kini pada usia 22 tahun, Evan Dimas telah mendapat 12 penampilan antarabangsa. Jumlah penampilannya sedikit terjejas kerana Indonesia baharu sahaja melalui tempoh penggantungan FIFA, lebih kurang satu tahun.

Pada Mei 2016, FIFA menamatkan penggantungan terhadap bola sepak negara itu, Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) yang bermula pada Mei tahun sebelumnya.

Aksi Evan Dimas ketika bersama Persebaya. Foto: M Risyal Hidayat

Apa yang menarik, ketika ini Evan Dimas dikaitkan dengan perpindahan ke Selangor setelah dikatakan telah menolak tawaran kelab Thailand, Chonburi FC.

Walaupun banyak pihak mengatakan ianya adalah atas faktor tawaran gaji yang lumayan daripada Selangor, namun ejennya Mulyawan Munial menafikan perkara tersebut kepada Goal.com.

Menurut Mulyawan, Chonburi FC terlalu cepat ingin memuktamadkan perjanjian sedangkan Evan Dimas ketika itu masih bersaing dalam Liga 1, Indonesia bersama Bhayangkara FC.

“Pada waktu itu saingan liga masih belum selesai. Chonburi menawarkan dan minta Evan membuat keputusan pada keesokannya. Kalau tidak, dia bakal diganti sama ada pemain dari Filipina atau Kemboja,” ujar ejennya itu lagi.

Begitupun, perpindahan ke Selangor juga sebenarnya masih belum rasmi. Berlegar di media Indonesia ketika ini, Evan Dimas dikatakan berminat untuk kembali semula kepada kelab asalnya, Persebaya Surabaya.

Evan Dimas bersama kelab terkini, Bhayangkara FC . Foto: TSC.

Ini kerana Persebaya Surabaya baharu sahaja disahkan akan kembali beraksi di Liga 1, Indonesia selepas menang 3-1 ke atas Martapura FC dalam aksi semi final Liga 2, pada 25 November yang lalu.

Namun, Evan Dimas tidaklah menyatakan dia akan kembali ke Persebaya Surabaya dalam masa terdekat ini. Apa yang jelas di dalam kenyataannya adalah, mungkin pada satu masa nanti.

“Sudah pasti saya ingin kembali ke Persebaya kerana itu adalah kelab asal saya dan sejak kecil saya sudah berada di sana. Belum tahu bila, tetapi yang pasti saya ingin kembali memperkuat Persebaya,” jelas Evan Dimas.

Penutup

Biar di mana pun Evan Dimas akan pergi, pastinya aksi bintang muda ini akan menjadi perhatian banyak pihak. Dia adalah pemain muda berbakat besar yang Indonesia miliki ketika ini.

Bagaikan maestro di tengah padang, aksi Evan Dimas sentiasa berjaya mencuri perhatian. Di peringkat B-19 dan B-22, dia berhasil menjaringkan banyak gol disamping menjadi perencana gerakan di tengah.

Paling diingati pastinya jaringan hatrik ketika menumbangkan Korea Selatan 3-2 dalam pusingan kelayakan seterusnya membawa Indonesia B-19 beraksi di Kejohanan AFC B-19 2014.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN