Individu paling mencuri tumpuan pada perlawanan akhir Piala Dunia tempoh hari adalah Kylian Mbappé
Mbappé berjaya mencipta sejarah peribadinya dengan mencatat nama sebagai pemain kedua paling termuda (selepas Pelé) yang berjaya menjaringkan gol dalam perlawanan akhir Piala Dunia.
60 tahun yang lalu, lagenda Brazil, Pelé pernah mencipta rekod sebagai pemain termuda yang berjaya menjaringkan gol pada perlawanan akhir Piala Dunia.
Melihat usia pemain Paris Saint-Germain (PSG) itu baru menjangkau 19 tahun, pengurus pasukan, Didier Deschamps percaya pemain itu mampu meraih gelaran Piala Dunia sekali lagi di masa akan datang.
Katanya lagi, Mbappé mampu mencipta sejarah lagi dengan mencatat nama sebagai pemain Perancis yang berjaya meraih gelaran Piala Dunia sebanyak dua kali.
Sebelum ini, Thierry Henry dan Trezeguet hampir berjaya melakukannya pada edisi Piala Dunia 2006 tetapi ianya tidak kesampaian selepas mereka tewas keatas Itali menerusi penentuan sepakan penalti.
“Mbappé hari ini baru berusia 19 tahun, saya percaya dia mampu menjuarai Piala Dunia sekali lagi.”
“Mbappe telah berjaya melakukan banyak perkara ketika ini, mungkin dia juga mampu menjadi pemain Perancis pertama menjulang Piala Dunia sebanyak dua kali” kata Deschamps.
“Pada 20 tahun yang lalu (1998), Trezeguet dan Henry berjaya menjuarai Piala Dunia, dan ketika itu mereka masih berusia 20 tahun.”
“Mereka berpeluang menjuarai Piala Dunia buat kali kedua (2006), tetapi mereka gagal melakukannya.” ujar Deschamps.
Mbappé mengakhiri kejohanan Piala Dunia 2018 dengan cemerlang dengan berjaya membantu Perancis menjaringkan gol menewaskan Croatia.
Lebih manis, beliau berjaya dinobatkan sebagai pemain muda terbaik kejohanan.
Sepanjang kejohanan, Mbappé berjaya menjaringkan empat gol daripada tujuh penampilannya bersama pasukan.