Olivier Giroud hampir pasti akan melakukan penampilan pertama bersama Chelsea ketika menentang Watford pada awal nanti setelah mengesahkan perpindahan ke Stamford Bridge pada penghujung jendela perpindahan lalu.
Pemain berusia 31 tahun tersebut turut dikehendaki oleh Borussia Dortmund, Sevilla dan juga Roma. Namun Giroud memilih untuk terus kekal di London untuk meneruskan karier bola sepaknya.
Perpindahan Giroud dilaporkan melibatkan nilai £18 juta dibayar oleh Chelsea kepada Arsenal. Beliau menjelaskan perpindahan tersebut harus dilakukan demi kelangsungan karier antarabangsanya.
Bercakap kepada stesen televisyen di Perancis, Giroud turut menjelaskan peranan pengurus skuad kebangsaan Perancis di dalam perpindahan tersebut.
Giroud dipetik sebagai berkata:
“Sebenarnya Deschamps tidak mempengaruhi saya untuk datang ke Chelsea. Namun beliau berkata bahawa saya perlu menukar kelab.”
“Sudah tentu saya mahu beraksi bersama Perancis di Piala Dunia di Rusia. Ia pasti akan menjadi peluang terakhir untuk saya beraksi di Piala Dunia. Kerana itu, saya perlu memberikan diri saya peluang.”
“Seminggu sebelum membuat keputusan untuk menyertai Chelsea, saya berjumpa dengan Deschamps. Saya hanya mahukan pendapat dan pandangan beliau.”
Kedudukan Giroud di dalam kesebelasan utama pilihan Arsene Wenger mulai menjadi persoalan selepas ketibaan Alexandre Lacazette pada musim panas lalu.
Walaupun sukar mendapatkan minit untuk beraksi, Giroud masih mampu menjaringkan sembilan gol untuk Arsenal.
Namun demikian, ketibaan Pierre-Emerick Aubameyang baru-baru ini adalah petanda jelas bahawa Giroud sudah tidak ada di dalam perancangan Wenger.
“Pilihan saya sangat mudah. Musim panas lalu, saya mahu kekal bersama Arsenal walaupun selepas ketibaab Lacazette. Namun demikian, pengurus mahukan seorang lagi penyerang tengah.”
“Apabila Aubameyang disahkan tiba di Emirates, ini bermakna Arsenal memiliki tiga penyerang tengah. Secara logik, itulah sebab utama saya mengambil keputusan untuk berpindah.”
“Pilihan kemudian menjadi sangat jelas. Saya mengenali Antonio Conte, dan saya mahu bekerja bersama beliau.” jelas Giroud.