Real Madrid terlepas peluang untuk kembali menduduki tangga kedua La Liga selepas dikejutkan oleh Girona dengan kekalahan 2-1 di Estadio Santiago Bernabeu pada awal pagi tadi.
Los Blancos terlebih dahulu di hadapan apabila Casemiro menanduk kencang hantaran Toni Kroos dari bahagian sayap kanan untuk memberikan pasukan tuan rumah pendahuluan yang dikehendaki.
Girona bangkit
Malangnya perancangan Real Madrid tidak seperti yang diharapkan. Cristian Stuani menyamakan keduddukan untuk Girona pada babak kedua perlawanan, selepas Sergio Ramos dipersalahkan kerana bola terkena tangan pemain pertahanan itu.
Jaringan tersebut sedikit sebanyak telah menambah keyakinan Girona, yang turut menyaksikan percubaan penyerang sayap, Cristian Portu terkena palang gol selepas itu.
Selang 10 minit selepas gol penyamaan dijaringkan, Portu kemudiannya memastikan Girona mendahului di hadapan dengan tandukan terbang, setelah menyambar percubaan Anthony Lozano yang gagal ditampan kemas Thibaut Courtois.
Malang Ramos
Malang berganda buat skuad kendalian Santiago Solari selepas itu. Gagal menemukan jaringan penyamaan yang dicari-cari, kapten pasukan dan juga pemain pertahanan, Sergio Ramos dilayangkan kad kuning kedua perlawanan.
Ramos terlebih dahulu menerima kad kuning selepas dipersalahkan memegang bola yang menjurus kepada penalti diberikan kepada Girona.
Layangan kedua kad kuning yang bermaksud kad merah untuk Ramos di masa kecederaan itu berlaku selepas pemain itu cuba melakukan sepakan basikal yang tidak menjadi.
Sebaliknya Ramos menyepak pemain Girona, Pedro Alcala, menyebabkan pengadil tidak teragak-agak bertindak sedemikian.
Kad merah tersebut adalah yang ke-19 untuk Ramos di La Liga, dan merupakan pemain tertinggi dengan layangan kad merah di Sepanyol.
Minggu lalu pemain itu turut menarik perhatian ramai selepas mendakwa dirinya sengaja mendapatkan kad kuning dalam kemenangan 2-1 ke atas Ajax di pertandingan Liga Juara-Juara Eropah – untuk digantung pada perlawanan seterusnya dan bebas dari hukuman menjelang pusingan suku akhir.
Solari tertekan
Keputusan terkini ini membuatkan pengurus, Santiago Solari merasai tekanan.
Kekalahan ini menyebabkan skuad Los Blancos jatuh ke tangga ketiga selepas Atletico Madrid merekodkan kemenangan 1-0 ke atas Rayo Vallecano.
Real juga kini berada sembilan mata di belakang pendahulu Barcelona, selepas seteru mereka itu mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Real Valladolid pada Sabtu lalu.
Antara yang dipersoalkan ialah keputusan Solari melakukan enam pertukaran untuk perlawanan menentang Girona. Antara yang berada di bangku pemain simpanan ialah bintang Wales, Gareth Bale. Manakala Luka Modrid tidak berasksi kerana menjalani hukuman gantung perlawanan.