Derby County dilaporkan sedang berbincang dengan Frank Lampard untuk kontrak baharu setelah spekulasi mengatakan pengurus tersebut sedang diburu oleh bekas kelab beliau, Chelsea.
Chelsea dikatakan belum menghubungi Derby County untuk Frank Lampard – yang kini dikatakan menjadi pilihan utama untuk mengambil alih dari Maurizio Sarri di Stamford Bridge.
Untuk itu, Derby dikatakan yakin baki kontrak bersama Lampard yang masih berbaki dua tahun boleh diperbaharui – dan perbincangan kini mulai dibuka bersama pengurus berusia 40 tahun itu.
BBC melaporkan Chelsea perlu membayar £4 juta kepada Derby untuk menebus kontrak bekas bintang Stamford Bridge itu di Pride Park.
Lampard cemerlang bersama Derby County pada musim pertama beliau bergelar pengurus. Musim lalu, Lampard berjaya mengemudi The Rams ke perlawanan akhir Championship play-off sebelum dikecewakan oleh Aston Villa.
Lampard menjuarai tiga gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) dan satu kejuaraan UEFA Champions League (UCL) ketika masih bersama Chelsea sebagai pemain – dan dianggap legenda di kalangan penyokong tegar The Blues.
Bekas pemain England ini juga pernah meluahkan penghargaan kepada Derby yang memberi beliau peluang di dalam bidang pengurusan, dan dikatakan telah menemui pihak pengurusan tertinggi kelab pada awal minggu ini untuk berbincang mengenai persiapan kelab menjelang musim baharu.
Frank Lampard as Chelsea manager would represent a drastic change of approach by Roman Abramovich. But would it make sense?
— Sky Sports Premier League (@SkySportsPL) June 15, 2019
Malah Lampard pernah meluahkan hasrat beliau untuk terus kekal bersama Derby untuk memenuhi baki kontrak beliau bersama kelab tersebut.
Laporan dari Chelsea pula mengatakan pihak pengurusan sedang menunggu lampu hijau dari pemilik kelab, Roman Abrahamovic sebelum memutuskan untuk mendapatkan Lampard.