Derby della Capitale antara derbi paling panas di dunia dan dianggap antara permusuhan orang Rom yang diterjemah dalam padang.
Bila bercakap mengenai kota Rom, pasti kita akan teringat kisah pahlawan-pahlawan ataupun gladiator yang bertarung di Coliseum.
Namun begitu, bila sebut mengenai kota Rom dalam terma bola sepak. Pasti perkara yang akan diingati adalah Derby Della Capitale antara AS Roma dan Lazio.
Gerakan politik
Jika dibuka semula arkib sejarah, Lazio merupakan kelab pertama yang muncul di kota Rom apabila ia ditubuhkan pada 9 Januari 1900.
Lazio ditubuhkan di sebuah daerah yang bernama Prati dan bermain di kawasan tempat tinggal pihak kelas atasan di Parioli.
27 tahun kemudian, diktator Benito Mussolini bercadang ingin mencipta satu kelab bola sepak yang merupakan hasil daripada penggabungan kesemua kelab bola sepak yang ada di Rom.
Tujuannya hanya satu – menamatkan dominasi kelab-kelab yang berpengkalan di utara Itali.
Mussolini mengajak semua kelab untuk bergabung termasuk Lazio sendiri untuk bersatu menjadi satu kelab Rom yang unggul. Namun mereka menolak untuk bersama-sama menyertai gabungan tersebut.
Semua ini kerana hasil daripada pengaruh jeneral fascist Giorgio Vaccaro yang menyebabkan Lazio tidak menyertai gabungan tersebut.
Maka pada tarikh 22 Julai 1927, tertubuhlah AS Roma hasil gabungann 3 kelab ketika iaitu – Roman, Alba-Audace dan Fortitudo.
Dalam masa yang sama, sejak saat inilah kota Rom terpecah kepada 2. Satu menyebelahi Lazio dan satu lagi menyebelahi AS Roma.
Dekat tapi jauh
Seperti AC Milan dan Internazionale, AS Roma dan Lazio juga berkongsi stadium yang sama sebagai gelanggan rasmi mereka.
Walaupun berkongsi di dalam satu rumah yang sama, namun jiwa kedua-dua kelab ini saling berjauhan.
Selepas Stadio Olimpico siap, kedua-dua pasukan memilih untuk bermain di stadium tersebut.
Secara tradisinya sejak dahulu, penyokong Lazio akan menguasai teres utara (Curva Nord) stadium manakala penyokong AS Roma menguasai teres selatan (Curva Sud).
Lazio dan AS Roma bukan sahaja bermusuh kerana Lazio tidak mahu menyertai gabungan AS Roma ketika penubuhan mereka.
Namun begitu, mereka juga sering bertarung untuk menjadi jagoan terulung di kota Rom.
Mereka bertarung untuk menjadi kelab terhebat di kota Rom. Seterusnya menjadi wakil utama Rom untuk mencabar kelab-kelab utama Itali yang lain seperti Juventus, AC Milan dan Internazionale.
Insiden kecoh
Derby Della Capitale merupakan pertembungan paling ganas di Itali. Malah, antara yang terganas dalam dunia bola sepak.
Perlawanan ini tidak pernah lekang dari insiden panas. Sebagai contoh pada 2004, perlawanan diantara 2 kelab ini telah digantung kerana terdapat insiden tidak diingini berlaku.
Hal ini berlaku pada separuh masa kedua apabila sekumpulan penyokong bertindak liar selepas mereka mendapat tahu pihak polis telah membunuh kanak-kanak lelaki dengan kereta di luar stadium.
Namun begitu, pasukan perubatan telah mendapat tahu yang budak lelaki tersebut sebenarnya hanya mengalami masalah pernafasan akibat terhidu gas pemedih mata.
Walaupun khabar angin itu telah dinafikan menerusi pembesar suara di stadium, akan tetapi majoriti penyokong tetap tidak boleh menerima penafian tersebut.
Hal ini memaksa kapten AS Roma, Francesco Totti untuk meminta agar perlawanan ini ditangguhkan serta merta.
Permintaan Totti ini ditunaikan oleh presiden Serie A, Adriano Galliani. Beliau terus mengarahkan pengadil perlawanan menggantung perlawanan.
Perlawanan di stadium berjaya dihentikan. Namun perlawanan di luar stadium tidak.
Penyokong bertempur bersama dengan pihak polis dan menyaksikan 13 orang penyokong ditahan. Dan 170 pihak polis cedera akibat pertempuran itu.
Kain rentang provokasi
Selain aksi panas di padang. Derby Della Capitale juga tidak lekang dengan persaingan diantara para penyokong ketika berada di Curva masing-masing.
Persaingan yang dimaksudkan adalah kedua-dua penyokong saling berbalas sorakan yang berunsurkan provokatif serta kain rentang yang sering diselitkan dengan mesej provokasi.
Sebahagian kecil penyokong Lazio terdiri daripada golongan yang didorong dengan ideologi fascist. Oleh itu mereka sering menayangkan kain rentang berbentuk perkauman kepada penyokong dan pemain AS Roma.
Pemain kulit gelap AS Roma juga sering menjadi sasaran kumpulan kecil penyokong Lazio ini. Pernah satu ketika, penyokong Lazio menayangkan kain rentang yang tertulis “Pasukan yang dipenuhi pemain kulit hitam (niggers) dan Yahudi.”
Pengurusan kelab Lazio bagaimana pun pernah menjauhkan diri dari kumpulan penyokong yang bersifat perkauman ini. Bagi mereka, kumpulan penyokon ini hanya memberikan masalah kepada pengurusan kelab.
Namun dalam masa yang sama, penyokong AS Roma juga pernah menayangkan kain rentang berbentuk perkauman sebagai tindak balas.
Kesimpulan
Derby Della Capitale ini sebenarnya pertembungan yang berskala kecil sahaja. Hal ini kerana, perlawanan ini lazimnya tidak akan menentukan kejuaraan liga seperti perlawanan Derby Della Madonnina atau Derby D’Italia.
Namun begitu, kisah luar padang dan sejarah permusuhan 2 kelab Rom ini telah menyebabkan mengapa perlawanan ini merupakan perlawanan terulung di Itali dan juga dunia bola sepak umunya.