Kemenangan 2-0 ke atas Melaka United dalam aksi Liga Super Sabtu lepas menaikkan semangat skuad kendalian Dollah Salleh untuk meneruskan rentak cemerlang pada perlawanan kelapan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam ini.
Pengurus Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata kepada Berita Harian, mengharapkan pemainnya dapat mempamer displin tinggi untuk memastikan kemenangan berpihak kepada Pahang.
“Saya percaya semua pemain sudah bersedia untuk melakar kemenangan ke atas Terengganu seperti yang dilakukan ketika mengecewakan Melaka United.
“Biarpun tuan rumah dilihat memiliki kelebihan kerana beraksi di laman sendiri, tiada yang mustahil jika semua pemain mempunyai keazaman tinggi.
“Apa yang perlu dilakukan adalah menerapkan semangat juang tinggi serta menunjukkan tahap persefahaman sepanjang tempoh 90 minit perlawanan.” katanya.
Kemenangan malam ini juga penting bagi skuad Tok Gajah untuk terus memberikan cabaran sengit untuk memintas pendahulu Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT).
“Fokus utama semua pemain adalah mempamer displin tinggi dan tidak mempersia-siakan segala peluang bagi mengelak tuan rumah meraih mata,” katanya.
Selepas tujuh perlawanan, Pahang meraih 14 mata untuk berada di tangga kedua manakala JDT selesa dengan 18 mata selaku pendahulu.
Walaupun ada yang berpendapat kehangatan derby pantai timur menentang Pahang tidaklah sepanas atau semeriah apabila Terengganu FC bertemu musuh tradisi Kelantan FA, namun ianya juga adalah salah sebuah perlawanan yang dinantikan oleh penyokong dan pemain kedua-dua pasukan dalam menentukan siapakah raja bola sepak di Pantai Timur.
Perlawanan pada malam ini dijangka akan dihadiri ribuan penyokong kedua-dua pasukan kerana tarikh pada hari ini bersamaan dengan hari cuti Hari Buruh Malaysia.