Pertemuan “derby” pantai timur di antara Pahang menentang Kelantan dalam saingan ketiga unifi Liga Super Malaysia 2018 malam ini pasti menjadi tumpuan.
Kedua-dua pasukan masih belum mencatat sebarang kemenangan sejak saingan Liga Super membuka tirainya dan perlawanan malam ini dijangka berlangsung sengit.
Ketua jurulatih pasukan Kelantan, Santhit Bensoh mengakui tugas sukar sedang menanti mereka apabila bertandang ke Stadium Darul Makmur malam ini apatah lagi skuad Tok Gajah akan bermain mati-matian untuk memunggut 3 mata penuh.
“Ia satu pertemuan sukar kerana kedua-dua pasukan terdesak untuk meraih kemenangan. Sekarang, Pahang dan Kelantan berada dalam situasi sama, masing-masing mahukan tiga mata.
“Walaupun bertandang ke tempat lawan tetapi kami juga mahu mendapatkan mata. Kami akan terus berjuang untuk memburu kemenangan biarpun perlawanan malam esok pasti menjanjikan cabaran sengit,” katanya kepada Sinar Harian.
Namun begitu, Santhit menjelaskan pasukannya tidak gentar dengan amukan anak buah Dollah Salleh itu dan sedia memberikan tentangan kepada Pahang untuk bawa pulang 3 mata ke Kota Bahru.
“Saya fikir pemain tahu misi pasukan ini ke Kuantan. Kami telah bekerja keras sejak dari perlawanan pertama tetapi nasib belum memihak Kelantan dan semua pasukan juga tidak terlepas melalui perkara sama seperti ini.
“Namun seperti saya beritahu, kami akan berjuang untuk tiga mata itu.
Tidak ada keraguan dalam perkara ini kerana jika kami mendapat keputusan negatif pasti ia akan menambahkan tekanan kepada pasukan ini,” jelasnya.
Beliau turut membayangkan akan mengekalkan barisan yang sama ketika menentang Terengganu beberapa hari lepas dan tidak akan membuat rombakan besar-besaran.
“Kami akan teruskan perancangan asal, tak banyak perubahan pemain boleh dilakukan kerana kami kesuntukan masa.
Cuma apa perlu ditambah sekarang adalah suntikan motivasi dan keyakinan diri untuk mereka berasa kuat bertemu Pahang nanti,” katanya.
Menurut Sathit, skuad Pahang yang kini diperkuatkan oleh bekas pemain import Selangor, Francis Forkey Doe mampu menghukum pasukannya jika barisan pertahanannya leka dan hilang fokus.
“Kesilapan melepaskan gol awal ketika bertemu Terengganu FC I tempoh hari tidak boleh berulang lagi dan mereka sewajarnya tidak memberi peluang seperti itu apabila berdepan pemain lawan, malam ini,” katanya.