Perlawanan ‘Derbi Manchester’ pada hujung minggu ini bakal menampilkan kehangatan yang berbeza. Seperti kebiasaan perlawanan tersebut akan mempertaruhkan ketuanan bandar Manchester.
Lebih daripada itu, kali ini ia bakal mempertemukan dua kelab yang berada di dua kedudukan teratas saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Tanpa Paul Pogba yang akan menjalani pergantungan akibat layangan kad merah ketika menentang Arsenal, bagaimana seharusnya Jose Mourinho tampil dari aspek taktikal dalam perlawanan tersebut.
Kami kongsikan kepada anda, 3 taktikal dan formasi yang berkemungkinan besar akan dipraktikkan oleh pengendali dari Portugal itu.
1. Taktikal: Counter pressing & serangan balas pantas formasi 3-4-1-2
Untuk 2 perlawanan secara berturut-turut menentang Watford dan Arsenal pada hujung minggu lalu, formasi 3-4-1-2 berjaya menghasilkan kemenangan buat Manchester United.
Selepas kemerosotan prestasi yang menimpa Henrikh Mkhitaryan, Jose Mourinho mengandalkan peranan No. 10 kepada Jesse Lingard. Percaturan tersebut memberi pulangan kepada pengendali dari Portugal ini.
Menentang Watford, Lingard menghasilkan satu bantuan gol untuk jaringan pembukaan oleh Ashley Young sebelum menjaringkan satu gol untuk melengkapkan kemenangan 4-2 United di Vicarage Road.
Ketika berhadapan dengan Arsenal, Mourinho menerapkan formasi yang sama dengan taktikal counter pressing dan yang agresif dan serangan balas pantas. Hasilnya, Lingard menjaringkan dua gol dalam perlawanan tersebut untuk menewaskan Arsenal juga di tempat lawan.
Berdasarkan prestasi semasa Lingard, maka tidak mustahil untuk Mourinho meneruskan formasi ini dalam taktikal beliau berhadapan dengan Manchester City. Namun demikian, taktikal sebegini mempunyai kelemahan.
Separuh masa kedua Arsene Wenger mengubah formasi dari 3-4-2-1 kepada 4-2-3-1 dengan Mesut Ozil bertindak sebagai pemain tengah menyerang dan Iwobi beraksi di sebelah kanan.
Akhirnya Manchester United terpaksa mengharapkan ketangkasan David De Gea untuk menangkis serangan Arsenal.
Isu terbesar dalam formasi ini ialah beban yang akan diletakkan kepada 2 pemain tengah. Menentang skuad Pep Guardiola, ia akan pasti memberi lebih banyak masalah berbanding Arsenal.
Matic dan Herrera harus berhadapan dengan pemain seperti Kevin De Bruyne, Silva, dan juga Fernandinho yang lebih efektif.
Mourinho turut boleh mempertimbangkan salah seorang pertahanan tengah untuk mengawal pergerakan De Bruyne, sepertimana Victor Lindelof mengikat Alexis Sanchez dalam perlawanan yang lalu.
2. Taktikal: Peranan No.10 & serangan sayap 4-2-3-1
Selepas berjaya dengan formasi 4-3-3 ketika pertama kali menyertai Chelsea, formasi 4-2-3-1 adalah satu lagi formasi kegemaran Jose Mourinho.
Malah formasi 4-2-3-1 ini telah berjaya memastikan Manchester United bermula dengan cemerlang pada awal kempen EPL pada musim ini.
Untuk formasi ini, ia akan banyak bergantung kepada pemain yang bakal mengambil peranan No.10, dan juga menuntut bantuan serangan yang efektif dari kedua-dua bek sayap United.
Oleh itu, skuad bimbingan Jose Mourinho perlu agresif ketika berada di fasa serangan, dan tidak terlalu memberi ruang kepada pemain Manchester City untuk melakukan gerakan.
Manchester United wajib memaksa pemain Manchester City untuk bertahan secara deep dengan menguasai penguasaan bola untuk mencari ruang menjaringkan gol, atau sebaliknya yang akan berlaku.
Menentang lawan yang dominan dalam penguasaan bola seperti Manchester City, ia boleh menyebabkan pemain Manchester United berkampung dan bertahan di blok rendah. Ini sekaligus akan mengasingkan (isolated) penyerang utama, Lukaku di barisan hadapan.
Sepanjang musim ini Lukaku mempunyai masalah untuk menyimpan bola serta mempunyai sentuhan yang lemah ketika diasak oleh pertahanan lawan tanpa dukungan rakan sepasukan. Ingatkah anda akan perlawanan menentang Liverpool tempoh hari? Situasi tersebut akan berulang.
Jika United membenarkan City menyerang, kedua-dua bek sayap tidak mempunyai pilihan kecuali untuk bertahan dan mengawal pergerakan pemain bek sayap City yang kita tahu sangat agresif ketika melakukan serangan.
Anda mungkin berkata, ini akan memberi ruang kepada Manchester United melakukan serangan balas pantas. Tetapi tanpa Paul Pogba, ia sukar sekali dilakukan.
Jika 4-2-3-1 menjadi pilihan, Manchester United perlu bermain dengan corak serangan agresif, dan tajam dalam melakukan penyudah ketika peluang terbuka dijangka akan sukar diperolehi dalam perlawanan sebegini.
3. Taktikal: ‘Mirror tactic’ tewaskan Chelsea
Ingatkah bagaimana taktikal Jose Mourinho ketika menundukkan Chelsea di Old Trafford pada musim lalu? Perkara terutama dalam perlawanan tersebut ialah bagaimana Ander Herrera dengan cemerlang mematikan pergerakan Eden Hazard.
Namun tidak ramai yang memberi tumpuan kepada sistem ‘man-marking’ yang diterapkan oleh United secara keseluruhan pada malam tersebut.
Secara asasnya, Manchester United menggunakan formasi yang sama ditampilkan oleh Chelsea. Setiap pemain United diberikan peranan masing-masing untuk mengawal seorang pemain lawan.
Pemain United mengikut arahan taktikal Mourinho dengan sempurna dalam perlawanan tersebut. Ashley Yung dan Antonio Valencia diberikan peranan mematikan pergerakan bek sayap lawan.
Matteo Darmian diberikan tugas mengawal Pedro, manakala Diego Costa dikawal oleh salah seorang pemain pertahanan tengah.
Ketika Antonio Conte memasukkan Cesc Fabrgegas, Mourinho pantas mengeluarkan Jesse Lingard dan memasukkan Michael Carrick untuk mengunci pergerakan pemain Sepanyol itu.
Taktikal yang sama boleh diterapkan oleh Mourinho untuk perlawanan pada hujung minggu ini.
Bagaimanapun Manchester City mempunyai unit serangan yang lebih pelbagai daripada Chelsea. City mempunyai lebih ramai pemain menyerang yang mampu menampilkan variasi menyerang berbeza di fasa serangan, dan ini mungkin akan menyukarkan United.
Jika benar David Silva mengalami kecederaan seperti yang didakwa Pep Guardiola sebelum ini, United boleh memberikan fokus dan tenaga untuk menghadkan bola menuju rangkaian 3 pemain serangan City dengan melakukan ‘man marking’ terhadap De Bruyne, dan Fernandinho yang dijangka akan beraksi di jentera tengah.
Jika Silva turut beraksi, maka ketiga-tiga pemain di bahagian tengah Manchester City adalah ancaman ketika mereka memiliki bola.
Sistem ‘man marking’ seperti ketika ditampilkan berhadapan Chelsea adalah satu risiko, memandangkan ketiga-tiga pemain tersebut berupaya melepasi sistem pertshanan United dengan kombinasi-kombinasi hantaran pantas sesama mereka.
Rumusan
Apa pun formasi dan taktikal yang diterapkan oleh Mourinho dalam perlawanan menentang Manchester City dalam perlawanan derbi Manchester itu nanti, jelas ia bukan perkara yang mudah untuk skuad United.
Skuad The Red Devils mungkin boleh menarik nafas lega kerana akan tampil lebih yakin sebagai tuan rumah. Untuk rekod, Manchester United tidak ditewaskan dalam 40 perlawanan terakhir dalam semua pertandingan di Old Trafford.
Tetapi Mourinho mempunyai pandangan yang berbeza mengenai rekod ini.
“Saya tidak mengendalikan perlawanan untuk mencipta rekod. Saya mengendali kelab bola sepak ini untuk memenangi kejuaraan,” ujar Mourinho.
Ia adalah laungan keyakinan daripada Mourinho. Ia juga satu mesej bahawa Manchester United perlu tampil dengan perancangan istimewa untuk perlawanan menentang Manchester City.