Dari El Clasico Ke Derbi Manchester, Ini Episod Baru Perseteruan Mourinho-Guardiola

Peseteruan di antara dua kelab sebandar bukan perkara asing di dalam bola sepak. Begitu juga dengan derbi Manchester. Jika anda membaca kisah asal usul perseteruan dua kelab ini- Manchester United dan Manchester City, perseteruan kedua-dua kelab bandar Manchester ini sebenarnya adalah sebuah konflik kekeluargaan yang pada mulanya mesra, kini tegang, bersadurkan dendam, disulami ego, dan dipisahkan warna.

Anda boleh membaca asal usul perseteruan tersebut di artikel kami, ‘Derbi Manchester: Dibina Dengan Jiwa Kekeluargaan, Dipecahkan Ego Semangat Merah Atau Biru’.

Hari ini kisah perseteruan itu sudah tidak terhad kepada sejarah kedua-dua kelab Manchester ini. Malah pengurus masing-masing- Jose Mourinho (Manchester United), dan Pep Guardiola (Manchester City) turut miliki kisah persahabatan menjadi peseteruan yang sinonim.

Satu ketika dahulu ketika bersama-sama di Barcelona, pengendali dari Portugal itu adalah penterjemah dan juga pembantu kepada Bobby Ronson di kelab gergasi Catalan tersebut. Manakala Guardiola adalah pemain yang dikendalikan oleh Robson dan Mourinho.

Sepertimana kedua-dua kelab Manchester itu, kedua-dua pengurus juga merupakan satu keluarga satu ketika dahulu. Namun sejak sedekad yang lalu, bola sepak telah menyaksikan perseteruan- antara yang paling menarik perhatian bola sepak dunia melibatkan kedua-dua individu ini.

Permulaan perseteruan

Salah satu pertemuan terawal membabitkan kedua-dua pengurus ialah di pertemuan peringkat separuh akhir UEFA Champions League musim 2009/10. Ketika itu, Inter Milan kendalian Mourinho berhadapan dengan Barcelona pimpinan Guardiola.

Selepas menang 3-1 di pusingan pertama di San Siro, Mourinho dipetik sebagai berkata: “Tahun lalu Cheslea menangis dan Barca ketawa bersama-sama pengadil”.

Michael Ballack and Captain John Terry of Chelsea complain to Referee Tom Henning Ovrebo during the UEFA Champions League Semi -Final 2nd Leg match between Chelsea and Barcelona at Stamford Bridge in London, England, UK. (Photo by ben radford/Corbis via Getty Images)

Kenyataan itu merujuk kepada pertemuan musim sebelumnya di separuh akhir pertandingan yang sama di Stamford Beidge. Pengadil perlawanan, Tom Henning Ovrebo mencetuskan kontroversi dengan beberapa keputusan menyebelahi Barcelona.

“Mereka ketawa bersama-sama kerana berjaya menafikan pasukan Chelsea saya tempat di final,” ujar Mourinho menuju perlawanan kedua di Nou Camp sambil mengejak kelebihan yang dimiliki oleh kelab La Liga itu.

Barcelona berjaya menewaskan Inter Milan di Nou Camp. Namun jaringan 1-0 tidak berjaya mengubah kelebihan yang diperoleh kelab Itali itu di San Siro.

“Ia adalah kekalahan paling indah sepanjang hidup saya.,” ujar Mourinho selepas perlawanan tersebut. Anda semua pasti masih ingat bagaimana Mourinho meraikan kejayaan mereka layak ke final di hadapan ribuan penyokong Barcelona di Nou Camp. Inter Milan pimpinan Mourinho juga berjaya menewaskan Bayern Munich selepas itu untuk gelaran juara eropah.

Dari skandal Stamford Bridge ke skandal di Bernabeu

Selepas gelaran treble di Inter, Mourinho menyertai Real Madrid pada musim berikutnya sekaligus membawa perseteruan di antara beliau dan Guardiola ke tahap baharu. Pada musim tersebut pada April 2011, kedua-dua pengurus itu berhadapan sesama sendiri di dalam empat perlawanan. Kali ini ia adalah empat El Clasico di dalam tempoh 18 hari.

Segalanya bermula selepas Real Madrid menewaskan Barcelona 1-0 di perlawanan akhir Copa Del Rey. Guardiola bertindak mempersoalkan tindakan pengadil membatalkan jaringan Pedro dengan nada sarkastik: “Keputusan tersebut mungkin melibatkan jarak 2 cm dari penjaga garisan. Penjaga garisan tentu memiliki penglihatan sangat tajam untuk membatalkan jaringan tersebut.”

(Photo credit should read JAVIER SORIANO/AFP/Getty Images)

Mourino kemudiannya membalas tindakan Guardiola mengkritik pengadil menjelang pertemuan separuh akhir UEFA Champions League membabitkan kedua-dua pasukan. Di dalam sidang media menjelang pertemuan tersebut, Mourinho berkata: “Di bilik ini, Mourinho adalah f*cking cif [pemimpin], f*ucking boss [ketua]. Saya tidak mahu bersaing dengan dia [Guardiola] di sini. Ini adalah bola sepak kita bicarakan.”

Barcelona menang perlawanan pertama dengan jaringan 2-0. Pepe dilayangkan kad merah, dan Mourinho turut diarahkan pengadil meninggalkan kawasan teknikal. Keputusan pengadil itu kali ini membuatkan pengendali dari Portugal itu melemparkan kemarahan kepada Guardiola.

(Photo by Alex Livesey/Getty Images)

“Satu hari nanti saya berharap Josep Guardiola mampu memenangi pertandingan dengan cara yang benar. Jika saya memberitahu UEFA pendapat saya ini, karier saya pasti akan berakhir sekarang.

“Jadi biarlah saya tanyakan sahaja soalan yang saya harap akan mendapat jawapan di masa hadapan: Mengapa? Mengapa Ovrebo? Mengapa Busacca? Mengapa De Bleeckere? Mengapa Stark? Mengapa? Kerana di separuh akhir, perkara sama akan berlaku. Kita bercakap mengenai pasukan bola sepak yang hebat, dan mengapa kita memerlukan pengadil sebegini? Mengapa?

“Mengapa pasukan sehebat mereka sentiasa memerlukan kelebihan ketara yang semua orang boleh lihat. Adakah kerana tajaan dari UNICEF atau kerana mereka sentias berlagak baik? Saya tidak faham. Mereka mempunyai kuasa, dan kami tidak memiliki peluang. Saya cuma boleh memberikan soalan, dengan harapan diberika jawapan satu hari nanti.

(Photo by Victor Carretero/Real Madrid via Getty Images)

“Barcelona wajib ke final dan mereka melakukannya, noktah. Josep Guardiola adalah pengurus yang hebat, tetapi saya sudah memenangi pertandingan ini dua kali dan beliau hanya memenanginya sekali. Ia memalukan saya.

“Saya akan rasa lebih malu jika bergelar juara dengan pelbagai skandal seperti skandal Stamford Bridge, dan sekarang kita namakan ia sebagai skandal Bernabeu. Saya cuma mengharapkan satu hari nanti Guardiola memenangi trofi bebas dari segala skandal.

Selamat tinggal La Liga

Pada April 2012, Guardiola mengumumkan akan meninggalkan Barcelona pada pengujung musim tersebut dan berehat sementara dari bola sepak. Ramai yang bertanggapan perseteruan beliau dengan Mourinho menyebabkan bekas pemain antarabangsa Sepanyol itu keletihan. Mourinho bagaimanapun tidak bersimpati dengan pengumuman tersebut.

“Itu adalah kehidupan beliau. Tetapi pada saya ia sama sekali tidak masuk akal untuk berhenti dan berehat. Anda harus tahu beliau jauh lebih muda dari saya. Saya tidak pernah penat,” komen Mourinho mengenai keputusan Guardiola itu.

(Photo credit should read LLUIS GENE/AFP/Getty Images)

Setahun selepas meninggalkan Barcelona, Guardiola mengambil alih Bayern Munich, manakala Mourinho menyertai Chelsea buat kali kedua. Bagaikan sudah tersirat sebagai takdir, kedua-dua pengurus ini dipertemukan sekali lagi- kali ini di perlawanan Piala Super UEFA. Guardiola sekali lagi muncul pemenang melalui penentuan sepakan penalti selepas Ramires dilayangkan kad merah pada masa sebenar permainan.

“Setiap kali saya beraksi menentang Pep [Guardiola], pasukan saya akan berakhir dengan 10 pemain. Ia sudah termaktub di dalam undang-undang UEFA. Jelas sekali pasukan yang lebih baik tewas. Mereka hanya menang kerana menjaringkan lebih satu penalti.

(Photo by Matthias Hangst/Bongarts/Getty Images)

Malah Mourinho terus menyindir pilihan Guardiola untuk menyertai Bayern Munich pada penghujung musim. Selepas membantu Chelsea bergelar juara Liga Perdana Inggeris pada 2015/15, dan Guardiola turut menjuarali Bundesliga kedua secara berturut-turut pada musim yang sama, pengendali Portugis itu tidak bersembunyi untuk menyindir Guardiola.

“Pada saya, saya bukanlah pengurus yang bijak dalam memilih kelab dan negara manakah untuk meneruskan karier. Saya boleh menyertai mana-mana kelab di mana-mana negara di mana ianya sangat mudah untuk bergelar juara.

(Photo by Getty Images)

“Pada masa hadapan mungkin saya harus menjadi lebih bijak dengan menyertai kelab di negara lain di mana semua orang bergelar juara. Mungkin saya akan menyertai kelab di mana ‘kitman’ pun boleh jadi jurulatih dan muncul juara,” ujar Mourinho sinis.

Perseteruan luar padang

Perselisihan pendapat kedua-dua pengurus tidak terhad menjelang dan selepas perlawanan membabitkan pasukan masing-masing. Di Forum Kelab Jurulatih-Jurulatih Elit UEFA, kedua-duanya juga saling berbalas kata-kata kerana berbeza pendapat akan panjang rumput padang.

Menurut Guardiola, panjang rumput yang ideal ialah 1.5cm untuk membenarkan corak permainan pantas diperagakan. Mourinho kurang bersetuju dengan teori tersebut.: “Setiap jurulatih ada corak permainan berbeza, dan anda harus menghormati fakta itu. Bola sepak boleh menjadi permainan yang menarik dengan pelbagai cara,” bantah Mourinho.

. (Photo by Jasper Juinen/Getty Images)

Jawapan Mourinho itu disanggah oleh Guardiola yang kemudiannya berkata: “Keindahan bola sepak bergantung kepada jurulatih. Pada saya Mourinho hanya mementingkan keputusan berbanding perkara lain. Saya sangat jelas mengenai hal itu.”

Selepas forum jurulatih itu, Mourinho bercakap kepada El Confidencial di Sepanyol dan menjawab tuduhan Guardiola itu.

“Jika anda benar-benar menikmati apa yang anda lakukan, kepala anda tidak menjadi botak. Kepala Guardiola botak. Dia tidak menikmati pun bola sepak yang beliau amalkan,” jawab Mourinho sinis.

Liga Perdana Inggeris

Pada 2016, Pep Guardiola diumumkan sebagai pengurus baharu Manchester City, manakala Jose Mourinho menyertai Manchester United. Ironinya, kedua-dua kali ini dipertemukan di sebuah bandar bersama dua buah kelab berbeza yang sememangnya memiliki perseteruan sejak berdekad lamanya. Namun kali ini, Mourinho bernada sedikit berbeza mengenai perseteruan beliau dengan Guardiola.

“Situasi di Sepanyol, perseteruan individu adalah masuk akal kerana ia boleh mempengaruhi sesuatu. Di Liga Perdana Inggeris, jika saya hanya memberikan fokus kepada Guardiola dan Manchester City, dan beliau memberi fokus hanya kepada saya dan Manchester United, maka orang lain akan bergelar juara liga,” ujar Mourinho.

Kredit: Mirror

Musim pertama pertemuan derbi Manchester melibatkan kedua-dua pengurus menyaksikan Guardiola dan City mencatat kemenangan 2-1 di Old Trafford, sebelum kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan di Etihad. Namun Mourinho boleh bermegah dengan trofi Piala EFL dan UEFA Europa League, tatkala Guardiola dan City tanpa sebarang trofi untuk dimegahkan pada musim tersebut.

Musim berikutnya, badai kehangatan perseteruan kedua-dua kelab turut melibatkan pertelingkahan di antara kedua-dua pengurus sekali lagi. City menang 4-1 di Old Trafford, pertelingkahan di terowong pemain melibatkan pemain dan jurulatih kedua-dua pasukan menjadi isu hangat. Mourinho melabel City tidak menghormati United dengan bunyi bising beserta provokasi dalam keraian mereka.

(Photo by Laurence Griffiths/Getty Images)
All or Nothing

Dalam dokumentari Manchester City, ‘All or Nothing’ yang memfilemkan kejayaan kelab tersebut merangkul kejauraan liga pada musim 2017/18, perlawanan derbi di Old Trafford tersebut turut dinyatakan.

Antara naratif yang digunakan dalam dokumentari tersebut di babak perlawanan derbi itu ialah: ” Sekali lagi, Guardiola menentang Mourinho; penguasaan bola menentang pertahanan; bola sepak menyerang menentang ‘parkir bas’.”

Mourinho tidak gemar akan petikan naratif tersebut. “Anda tidak perlu tidak menghormati orang lain untuk membuat filem yang hebat. Anda mungkin adalah kelab terkaya di dunia, tetapi anda tidal boleh membeli ‘kualiti’. Mereka menunjukkan semua itu,” komen Mourinho.

Kritikan Mourinho mendapat respon dari Guardiola: “Itu benar. Anda tidak boleh membeli ‘kualiti’. Sepanjang musim kami berada di bawah pengawasan kamera. Kami lakukan semua itu untuk diri kami sendiri. Saya tidak bersetuju dengan Jose [Mourinho] mengenai tidak menghormati. Itu bukan niat kami- rakaman adalah mengenai apa yang berlaku pada musim lalu.”

Penutup

Perseteruan kedua-dua pengurus bukan perkara baru di dalam dunia bola sepak. Di La Liga, Champions League, kini kedua-dua pengurus beradu kembali di saingan Liga Perdana Inggeris.

Manchester United mungkin sedang berada didalam krisis. Manakala Manchester City tampak serba serbi sempurna. Tetapi adakalanya bola sepak tidak menampilkan apa yang kita lihat dari luaran. Siapapun yang akan memenangi perlawanan tersebut pada tengah malam nanti, kelibat Mourinho dan Guardiola sekali lagi akan menjadi perhatian ramai.

Dari El Clasico ke Derbi Manchester, ini episod baru perseteruan Mourinho-Guardiola.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN