Perlawanan derbi Manchester pada hujung minggu ini bakal menampilkan kehangatan yang berbeza. Seperti kebiasaan perlawanan tersebut akan mempertaruhkan ketuanan bandar Manchester.
Lebih daripada itu, kali ini ia bakal mempertemukan dua kelab yang berada di dua kedudukan teratas saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Selepas 15 perlawanan, Manchester City gagah mendahului liga dengan kelebihan 8 mata, berbanding jiran tetangga Manchester United yang berada di kedudukan kedua.
Kemenangan menentang skuad Red Devils bimbingan Jose Mourinho akan melebarkan jurang mata kepada 11, sekaligus meletakkan Pep Guardiola dan anak buahnya berada di dalam kedudukan selesa menjelang jadual perlawanan yang padat menjelang Krismas.
Manakala Manchester United tidak mahu berputih mata, dan pasti mahukan kemenangan untuk meneruskan momentum merapatkan kedudukan mata dengan Manchester City.
Maka tidak hairanlah perang psikologi di antara kedua-dua kelab sudah pun bermula menjelang perlawanan pada tengah malam Ahad (waktu Malaysia) yang akan dilangsungkan di Old Trafford.
Dalam perkembangan terkini, pengendali dari Portugal Jose Mourinho mendakwa Pep Guardiola cuba melakukan penipuan akan status pemain tengah City, David Silva yang dilaporkan cedera.
Ketika ditanya mengenai status kecederaan di kalangan skuad United di dalam satu sidang media, Mourinho sempat menyindir rakan sejawatnya di Etihad.
Mourinho dipetik sebagai berkata:
“Anda mahukan kebenaran atau apakah yang anda mahu tahu sebenarnya? Jadi anda mahu perkara yang benar?”
“Yang sebenarnya Eric Bailly tidak akan mungkin beraksi pada hujung minggu ini. Phil Jones mempunyai peluang. Begitu juga dengan Marouane Fellaini.”
“Zlatan Ibrahimovic punyai peluang besar untuk diturunkan. Nemanja Matic mempunyai kecederaan, tetapi pasti akan beraksi. Manakala Michael Carrick langsung tidak boleh beraksi.”
“Saya hanya memberitahu anda akan kebenaran. Tidak ada cerita seperti Lacazette atau David Silva. Hanya kebenaran.”
Ketika ditanya oleh wartawan BT Sport mengenai tahap kecederaan pemain yang tidak dapat beraksi, ini pula jawapan Mourinho:
“Tidak. Kami tidak mempunyai kecederaan. Lawan kami sahaja yang mempunyai isu sebegini. Mereka mempunyai isu besar mengenai kecederaan pemain. Namun akhirnya semua pemain bersedia untuk beraksi.”
“Mungkin kerana mereka adalah sebuah organisasi yang hebat. Manakala kami lebih gemar untuk merendah diri.”
“Apabila kami mempunyai masalah kecederaan, bermakna kami mempunyai masalah tersebut. Apabila pemain kami dilaporkan mengalami kecederaan, itu bermakna pemain kami cedera dan tidak dapat beraksi. Saya sudah memberitahu kebenaran.”
Mourinho boleh menarik nafas lega dan memberikan fokus sepenuhnya untuk perlawanan derbi pada hujung minggu ini selepas menyaksikan skuad kendaliannya melayakkan diri sebagai 16 pasukan terbaik pertandingan UEFA Champions League (UCL), menewaskan CSKA Moscow 2-1 pada awal pagi tadi.
Walaupun berjaya mengesahkan kedudukan teratas Kumpulan A UCL, Manchester United masih mempunyai kemungkinan untuk diundi bertemu gergasi eropah yang lain seperti Real Madrid, Bayern Munich atau pun Juventus pada pusingan seterusnya.
Namun demikian pengendali berusia 54 tahun yang pernah memenangi kejuaraan UCL bersama Porto dan Inter Milan ini berkata pasukan bimbingannya bersedia untuk berhadapan dengan mana-mana gergasi bola sepak eropah yang lain.
“Saya bukan orang yang bernasib baik jika mengandalkan proses undian kepada nasib untuk laluan mudah. Maka lebih baik saya berdiam diri kerana pusingan seterusnya ialah pada Februari. Sehingga itu lebih baik saya memberi fokus kepada saingan di Liga Inggeris.”
“Saya juga berpendapat pasukan-pasukan lain tidak akan melompat kegembiraan jika diundi bertemu kami.”
Jose Mourinho dan Manchester United masih segar daripada kemenangan 3-1 ke atas Arsenal dalam perlawanan di Emirates pada hujung minggu yang lalu.
Menjelang perlawanan menentang Arsenal, Arsene Wenger mengesahkan penyerang Perancis, Alexandre Lacazette mengalami kecederaan dan tidak dapat beraksi dalam perlawanan bertemu United.
Sebaliknya, Lacazette tampil beraksi dan menjaringkan 1 gol, namun gagal membantu mengekang Manchester United daripada pulang meraih 3 mata berharga.