Derbi Manchester adalah merujuk kepada perlawanan di antara Manchester United vs Manchester City. Ianya memiliki rona dan citranya yang tersendiri dalam bola sepak.
Setiap kali bercerita tentang derbi, sudah pastinya ianya penuh dengan perang saraf – perang antara keluarga dan saudara mara yang terpisah untuk 90 minit.
Di media sosial pula dipenuhi dengan banter antara penyokong. Itulah yang mejadikan derbi sebagai satu perkara yang ada kepuasan tersendiri dalam bola sepak.
Derbi keluarga
Percayakah anda jika kami katakan yang derbi Manchester ini satu ketika dahulu tidak tegang ataupun panas. Ianya lebih merujuk kepada semangat kekeluargaan dan saling menyokong di antara kedua-dua buah kelab. Tiada isu ‘pemilikan’ oleh satu pihak daripada kedua-dua pasukan.
Pertemuan pertama di antara Man. United dan Man. City adalah pada 12 November 1881, ketika itu City masih bernama West Gorton (St. Marks) dan United masih bernama Newton Heath.
Perlawanan sulung derbi Manchester itu berakhir 3-0 berpihak kepada Newton Heath.
Kedua-dua pasukan menyertai Piala Manchester yang dipertandingkan setiap tahun. 2 pasukan ini memang dominan untuk kejuaraan ini.
Selepas itu, Newton Heath dan Ardwick menyertai Football League. Newton Heath diterima dalam divisyen 1 manakala Ardwick bermain di divisyen 2.
Selepas beberapa tahun tidak bertemu, mereka bertemu lagi pada 26 Februari 1889. Heath sekali lagi menag dengan 3-2. Pertemuan ini adalah untuk mengumpul dana bagi membantu mangsa bencana lombong arang batu Hyde yang mengorbankan 23 nyawa.
Kedua-dua pasukan masih ‘bersahabat’ dengan semangat se-Manchester tanpa ada rasa mahu menjadi raja di Manchester.
Manchester City dikejutkan dengan skandal kewangan dalam membayar gaji kepada beberapa pemain mereka. 17 pemain mereka digantung daripada bermain untuk kelab mereka lagi termasuk beberapa pemain utama yang membantu mereka menjuarai Piala FA 1904.
Selepas skandal itu selesai, pada 1907, 4 pemain Manchester City menyertai Manchester United sebagai salah satu usaha mereka membantu kelab Man. United.
Mereka adalah Jimmy Bannister, Herbert Burgess, Billy Meredith dan Sandy Turnbull. Ia disambut baik oleh kedua-dua belah pihak kerana ia adalah usaha untuk Manchester United dalam usaha untuk menjuarai kejuaraan sulung liga utama (EPL hari ini).
Mereka mahukan kejuaraan EPL itu dibawa ke bandar Manchester. Dan Manchester United berjaya melakukannya. Itulah piala major pertama Manchester United yang menjadi asas kepada perjalanan mereka sehinggalah penuh kabinet piala mereka pada hari ini.
Sebelum perang dunia kedua, ramai penyokong bola sepak di bandar Manchester menyaksikan perlawanan Manchester United dan Manchester City secara bergilir minggu. Bagi mereka, Manchester itu 1!
Mereka tak perlu risau pasal jersi kerana mereka memakai jersi yang sama mewakili bandar Manchester.
Selepas perang dunia ke-2
Namun selepas perang dunia kedua, segalanya mulai berubah. Semangat derbi yang membawa kepada perseteruan dan permusuhan itu mulai membuak-buak.
Jadi, tiada lagi istilah bandar Manchester adalah satu dalam kamus bola sepak mereka. Bandar Manchester mulai terbahagi kepada timur dan barat.
Kebangkitan Manchester United di bawah Sir Matt Busby membuatkan rasa ego dan cemburu mulai menguasai bandar Manchester. Di bawah Sir Matt Busby, United berjaya sehingga menjadi juara Eropah meskipun terpaksa membina semula pasukan selepas tragedi Munich.
Dekad 70-80-an
Pada dekad ini adalah era yang dianggap panas berbanding dengan sebelum ini. George Best melakukan terjahan yang menyebabkan kaki Glyn Pardoe patah dan hampir kehilangan kakinya seumur hidup.
Gol Denis Law
Denis Law digelar raja/king di Manchester United. Dalam perlawanan kedua terakhir musim 1973/74 adalah di antara Manchester United dan Manchester City.
Buat pertama kalinya, King Denis tampil dengan persalinan biru dalam derbi Manchester. Beliau telah menjaringkan gol pada minit ke-80 disaksikan oleh Stretford End. Satu gol yang cantik dengan ‘back heel’.
Gol itu telah membuatkan Manchester United tersingkir ke divisyen 2. Law tidak meraikan gol itu tetapi penyokong Manchester City kemudian meluru ke dalam padang meraikan penyingkiran Manchester United.
Saksikan detik itu di sini:
Ini untuk versi lebih panjang:
Namun selepas itu media menulis Denis Law yang digelar King di Old Trafford itu sebenarnya bukan beliau yang menyingkirkan United, sebaliknya United sendiri.
Dalam perlawanan tersebut, Law menjaringkan gol tunggal. Bayangkan gol itu tak berlaku bermakna perlawanan seri 0-0 dan itu masih membuatkan United tersingkir kerana Birmingham menang di dalam satu lagi perlawanan untuk kekal di divisyen 1.
Bukan Denis Law yang menyingkirkan Manchester United!
Era 90-an
Menjengah ke era 90-an, Manchester United menjadi kuasa dominan di England. Mereka mulai memandang Manchester City dengan sebelah mata. Manchester City hanyalah pasukan yang berada di pertengahan ataupun kelompok bawahan.
United mengukuhkan lagi nama mereka sebagai salah sebuah pasukan paling berpengaruh di dunia.
Beberapa insiden dalam derbi ini terus menjadi perhatian pada era moden. Antaranya adalah insiden melibatkan Roy Keane yang melakukan bentesan keras kepada Alf-Inge Håland.
Ketika itu Keane menyatakan yang beliau tak sengaja mencederakan Haland.
Keane dilayangkan kad merah dan denda £150,000. Ia adalah bentesan penamat karier yang dilakukan oleh Keane. Dalam buku autobiografinya pula, Keane mengakui dia sengaja melakukan bentesan itu.
Insiden ini antara yang membuatkan permusuhan di antara kedua-dua pasukan semakin kuat. Alf-Inge Haland gagal untuk kembali ke padang semula dan terpaksa bersara awal kerana tidak dapat sembuh sepenuhnya.
Anda pasti masih ingat insiden Gary Neville yang mengendahkan dan tidak mahu berjabat tangan dengan Petr Schmeichel di terowong kerana penjaga gol itu menyertai Man. City.
Perseteruan hari ini
Perseteruan derbi Manchester yang ada pada hari ini adalah lebih panas daripada semua era sebelum ini. Ianya bermula ketika Manchester City menerima pelaburan mega daripada Sheikh Mansour.
Manchester City mulai mencabar Man. United untuk kejuaraan EPL. Sir Alex Ferguson pernah melabel Man. City sebagai jiran bising mereka dan yakin tidak akan menjadi pasukan besar (top dog) dalam hayat beliau.
Ianya menimbulkan kemarahan di kalangan penyokong City. Mereka akhirnya membuktikan mereka mampu menjadi pasukan besar dalam EPL dan Eropah.
Peristiwa perpindahan Tevez ke Manchester City antara berita panas. Mark Hughes menganggap poster besar itu dengan perkataan Selamat Datang Ke Manchester adalah propaganda untuk menyakitkan hati Sir Alex.
Ini selepas Sir Alex melabel Manchester City sebagai kelab yang bermentaliti rendah.
Tidak lupa ketika Aguero menjaringkan gol minit akhir untuk membantu Man. City menjuarai liga dari tangan United.
Tak lupa juga jaringan spektakular Wayne Rooney ini:
Oh ya, Why Always Me? Ingat lagi?
Sir Alex Ferguson berjaya menjuarai EPL bersama United mengatasi Man. City pada musim terakhir beliau. Ia kekal menjadi EPL terakhir Man. United ketika ini.
Seterusnya, Derbi Manchester terus dihangatkan pada era Guardiola-Mourinho. 2 pengurus yang pernah berseteru dalam el clasico di Sepanyol. Beberapa episod panas berlaku pada era mereka.
Antaranya insiden di mana Mourinho marah dengan dokumentari Manchester City yang mengaitkan pertemuan ini sebagai – perlawanan di antara pasukan menyerang dengan pasukan yang parkir bas. Mourinho meminta royalti kerana beliau menganggap dokumentari itu terpaksa menggunakan namanya untuk menjadi pelaris.
Namun Mourinho enggan dibayar dengan wang tetapi mahu diberikan baju keraian kejuaraan Manchester City – tertulis ‘Kami Melakukannya Pada Derbi’ . Namun pesta kejuaraan City ditangguhkan Man. United pada musim 2017/18 di Old Trafford.
Itulah serba sedikit tentang derbi Manchester yang bermula dengan semangat kekeluargaan 1 Manchester dan kini menjadi medan untuk menjadi siapakah pemegang tahta raja di Manchester sehingga derbi yang akan datang. Sekarang ini timbul persoalan iaitu:
Adakah Manchester itu biru atau merah? Segalanya akan terjawab selepas perlawanan di antara kedua-dua pasukan ini.