Derbi Manchester, Pertembungan Maruah, Survival Dan Ketuanan Bola Sepak Bandar Manchester

Derbi Mancester ataupun bahasa universalnya Manchester Derby! Pertembungan melibatkan dua kelab terbesar di bandar Manchester, England ini pertama kali diadakan pada tahun 1881.

173 perlawanan membabitkan kedua-dua buah kelab telah diadakan, Manchester United telah memenanginya sebanyak 72 kali, Manchester City mencatat 50 kemenangan manakala baki 51 perlawanan berakhir dengan keputusan seri.

Aksi Wayne Rooney ketika bertemu Man City.

Perlawanan pada awal pagi nanti bukan sekadar untuk penyokong kedua-dua buah kelab mendabik dada, membuktikan siapakah yang lebih gagah untuk menakluki bandar Manchester.

Lebih daripada itu, perlawanan yang dijadualkan berlangsung pada 28.04.2017. jam 3:00 pagi waktu Malaysia akan mencorak kedudukan masing-masing untuk merencanakan saingan kedua-dua buah kelab pada musim hadapan.

Di antara maruah dan ketuanan, “survival” kedua-dua kelab dan masa hadapan dalam saingan Eropah akan dipertaruhkan dalam perlawanan ini.

Sejarah Pertemuan

Sering menjadi perdebatan di media sosial, derby manakah yang lebih panas dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Merseyside derby menemukan Liverpool dan Everton, London derby kini menyaksikan Chelsea, Totenham Hotspurs dan Arsenal berebut ketuanan di kota London manakala North-West derby menemukan Manchester United dan Liverpool juga sering menghangatkan saingan.

Derbi Manchester punyai sejarahnya yang tersendiri. Daripada zaman Newton Heath kepada era Dennis Law sehinggalah kepada revolusi Arab yang mengubah landskap saingan kedua-dua pasukan dari bandar Manchester ini.

Drama, aksi, kontroversi. Ini adalah rencah setiap kali perlawanan Manchester Derby diadakan.

Kali ini kami bawakan 4 saingan Manchester derby yang pernah diadakan pada zaman moden untuk membawa kehangatan Manchester derby ini kepada anda!

1. Man United 4-3 Man City, September 2009

Perlawanan ini adalah yang pertama daripada empat pertemuan di antara kedua-dua buah kelab pada musim 2009/10. Ini adalah perlawanan yang terhangat pada musim itu dan mungkin merupakan perlawanan “Manchester Derby” terbaik pernah disaksikan.

City telah membelanjakan lebih daripada £100 juta pada musim panas tahun itu.

Emmanuel Adebayor, Joleon Lescott dan bekas penyerang Man United yang dilaporkan oleh media British bernilai £25 juta, Carlos Tevez adalah sebahagian daripada revolusi rejim baru di Etihad.

Tetapi ini adalah satu pertandingan di mana kuasa wang tidak dikira sebagai faktor kemenangan.

Michael Owen meraikan jaringan kemenangan Man Utd.

Wayne Rooney memberikan skuad United gol pendahuluan seawal minit ke-2 perlawnaan sebelum satu lagi pemain baru City, Gareth Barry menyamakan kedudukan.

Darren Fletcher kemudiannya menanduk masuk gol kedua United empat minit selepas separuh masa kedua bermula untuk kedudukan United 2-1 City.

Craig Bellamy tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol penyamaan dengan lencongan cantik untuk menyamakan kedudukan.

Sepuluh minit perlawanan berbaki, Fletcher sekali lagi meletakkan United di hadapan. Kesilapan minit akhir pertahan United, Rio Ferdinand membenarkan Bellamy sekali lagi untuk menyamakan kedudukan. United 3-3 City.

Masa tambahan 6 minit diberikan pengadil perlawanan. Pada saat keseluruhan bandar Manchester dan dunia yang menyaksikan perlawanan tersebut menunggu pengadil meniupkan wisel penamat, Ryan Giggs meneruskan kesinambungan drama.

Lorongan cantik Giggs disambut oleh bekas idola di Anfield, Michael Owen untuk jaringan kemenangan Man Utd.

2. Man United 1-6 Man City, October 2011

Ini adalah musim yang bersejarah bagi City yang menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris buat pertama kali dalam sejarah kelab tersebut.

Perlawanan pada Oktober 2011 ini adalah satu kenyataan jelas, betapa seriusnya Roberto Mancini dan anak buahnya dalam cabaran EPL musim ini.

Mario Balotelli (sehari selepas insiden letupan bunga api di rumahnya) memecah kebuntuan kedua-dua pasukan pada minit ke-22 untuk meletakkan City di hadapan.  Jaringan tersebut popular dengan gaya beliau meraikan gol tersebut dengan memperagakan t-shirt tertulis “Why Always Me?

Pertahanan United, Johnny Evans dilayangkan kad merah.

Tetapi kad merah yang dilayangkan kepada Jonny Evans pada separuh masa kedua nyata pemangkin kepada kekalahan terteruk United di laman sendiri itu.

Balotelli menambah satu lagi gol sebelum Sergio Aguero, Edin Dzeko dan David Silva melengkapkan 6 jaringan yang memalukan skuad Sir Alex Ferguson di mata dunia.

“Kami akan bertindak balas atas keputusan ini, itu pasti”, ujar Sir Alex dengan wajah yang merah padam selepas perlawanan tersebut.

Walaupun terus bersaing dengan City sepanjang musim tersebut, United terpaksa berpuas hati muncul naib juara liga pada akhir musim setelah gol minit akhir Aguero ketika menentang Queen’s Park Rangers mengesahkan City muncul juara dengan kelebihan jaringan.

3. Man City 2-3 Man United, Disember 2012

Kekecewaan musim sebelumnya apabila gagal mendakap kejuaraan liga dibezakan dengan perbezaan jaringan, masih menghantui anak buah Sir Alex. Trauma dibelasah 6-1 juga masih segar di kalangan kebanyakkan barisan kesebelasan United pada masa itu.

Bagaimanapun, skuad The Red Devils tidak membenarkan skrip musim lalu berulang. Wayne Rooney meletakkan pasukannya di hadapan dengan dua gol untuk memberikan United pendahuluan yang selesa dalam 30 minit awal permainan.

City tidak mahu reputasi juara bertahan Liga Perdana Inggeris tercalar dengan mudah. Yaya Toure cuba memulakan kebangkitan City dengan jaringan pada minit ke-60 sebelum Pablo Zabaleta menyamakan kedudukan 2-2 empat minit sebelum masa sebenar 90 minit tamat.

Insiden Rio Ferdinand dibaling dengan syiling ketika meraikan gol kemenangan Van Persie.

Keputusan dilihat akan berakhir dengan seri dengan pemain daripada kedua-dua buah pasukan tampak mulai kepenatan. Tetapi drama dalam perlawanan ini disimpan untuk minit-minit akhir masa tambahan yang diberikan pengadil.

Dalam satu serangan balas anak didik Sir Alex, United dihadiahkan sepakan percuma di luar kotak penalti City.

Bekas bintang Arsenal yang dibawa masuk oleh Sir Alex pada awal musim menjadi wira United apabila sepakan percuma beliau, turut terbias oleh Samir Nasri menerjah jaring yang dikawal oleh Joe Hart.

Jaringan itu mencetuskan insiden di antara Rio Ferdinand dan penyokong City. Ferdinand tercedera di bucu mata apabila dibaling dengan syiling ketika meraikan jaringan tersebut berhampiran tempat duduk penyokong City.

Tiada lagi keraian ala-Poznan di Etihad pada musim itu dan United merangkul kejuaraan Liga Inggeris yang ke-20 dalam sejarah kelab tersebut.

4. Man City 5-1 Man United, September 1989

Ini adalah satu-satunya perlawanan yang kami pilih membabitkan pertemuan kedua-dua buah kelab Manchester ini sebelum Liga Inggeris dijenamakan semula pada musim 1992.

City baru sahaja meraikan kepulangan mereka ke Divisyen 1 pada musim 1989/90. Pertemuan pertama di divisyen pertama adalah yang pertama setelah City hanya bersaing di Divisyen 2 untuk dua musim berturut-turut sebelum itu.

Maka saingan untuk menyatakan siapakah yang paling layak mendominasi bandar Machester kembali bermula setelah sepi selama dua musim.

Skuad United di bawah era baru Alex Ferguson belum menyerlah pada ketika ini. Pertemuan yang menyaksikan Maine Road masih arena skuad City, dianggap seimbang dan boleh dimenangi oleh sesiapa sahaja.

City membelasah United 5-1 dalam pertemuan pertama selepas dua musim.

Kesilapan Gary Pallister membenarkan David Oldfield menjaringkan gol pendahuluan. Pertahanan yang rapuh membenarkan Trevor Morley meletakkan City selesa di depan dengan jaringan 2-0.

Ian Bishop terus menghukum skuad United dengan gol ketiga sebelum sepakan gunting Mark Huges memberikan satu gol untuk menghidupkan saki baki perjuangan Red Devils.

Skuad bimbingan Mel Machin terus rakus menambah derita barisan bimbingan Alex Ferguson apabila David Oldfield menambah satu lagi gol dan Andy Hinchcliffe melengkapkan derita United dengan jaringan kelima City.

Liverpool muncul juara Liga Inggeris (yang terakhir sehingga kini) pada musim tersebut manakala United dan City mengakhiri musim di tangga ke-13 dan 14.

Kedua-dua kelab berkongsi jumlah mata yang sama tetapi kelebihan jaringan memihak kepada United. Namun kemenangan City pada musim tersebut membenarkan mereka mendabik dada sebagai pasukan yang memiliki bandar Manchester pada musim itu.

Perlawanan Tumpuan

Kedua-dua pasukan sudah boleh melupakan kejuaraan liga pada musim ini. Bagaimanapun, perlawanan ke-33 Liga Perdana Inggeris buat kedua-dua pasukan awal pagi Jumaat nanti masih menjanjikan satu saingan yang menarik.

City tiada pilihan selain meneruskan momentum kemenangan untuk mempertahankan kedudukan di tangga ke-4 liga.

Kedudukan 4 teratas liga adalah satu-satunya laluan skuad Ped Guardiola untuk ke saingann UEFA Champions League (UCL) pada musim hadapan.

Siapakah yang akan mendabik dada musim ini?

United hanya dibezakan satu mata dengan City. Kemenangan dalam perlawanan ini akan melonjakkan skuad Jose Mourinho ke kedudukan ke-4 liga.

Walaupun fokus Jose dan United tertumpu ke UEFA Europa League (UEL) untuk melayakkan diri ke saingan UCL musim hadapan, skuad Mourinho pasti ingin membuktikan mereka mampu layak secara merit melalui slot EPL.

Satu perkara yang wajib dipertaruhkan selain slot ke UCL ialah hak untuk pemenang mendabik dada sebagai pasukan yang lebih “superior” di bandar Manchester.

Aksi. Drama. Kontroversi. Kita nantikan sama-sama awal pagi Jumaat ini.

Baca juga: Ilija Spasojevic Umum Letak Jawatan Sebagai Kapten Melaka United

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN