Der Klassiker: Bayern Munich vs Borussia Dortmund, Nico Kovac vs Lucien Favre. Dortmund akan bertandang ke Allianz Arena, Munich pada tengah malam ini (waktu Malaysia) dalam perlawanan Der Klasiker – kali ini diibaratkan perlawanan akhir Bundesliga Jerman.
Lupakan El Clasico, derbi Barat Laut atau perseteruan di Itali sementara waktu. Hari ini pertembungan di antara dua gergasi Jerman ini dianggap sebagai perlawanan terbesar yang wajib disaksikan.
Tatkala taktikal dan pemilihan pemain di dalam kesebelasan utama oleh kedua-dua jurulatih dipercayai akan memainkan peranan aksi di atas padang, berikut adalah lima pertembunagn di antara pemain kedua-dua pasukan yang boleh kita nantikan dalam perlawanan ini.
Paco Alcacer vs. Niklas Süle
Satu gol setiap 60 minit, penjaring ketiga terbanyak liga dan dua jaringan minit akhir beliau memberikan Dortmund kemenangan dalam perlawanan lalu. Paco Alcacer bolehlah kita katakan telah melalui musim pertama yang baik di Bundesliga. Namun demikian, keraguan utama terhadap bekas pemain Barcelona ini adalah 11 daripada 16 jaringan yang beliau hasilkan adalah sebagai pemain gantian. Siri kecederaan di dalam skuad Lucien Favre bermakna Alcacer mungkin akan bermula sebagai pemain kesebelasan utama – walaupun sedar beliau adalah pemain yang lebih efektif diturunkan dari bangku simpanan.
Bakal berhadapan Alcacer ialah Nilkas Sule. Pemain pertahanan tengah muda ini semakin mendapat tempat berbanding Jerome Boateng dan juga Mats Hummels. Alcacer adalah seorang ‘poacher’ yang bergantung kepada mobiliti di atas padang. Sule perlu menggunakan kepantasan beliau untuk tidak memberikan ruang – namun sepatutnya lebih baik dari Alcacer untuk perebutan bola di udara.
Joshua Kimmich vs. Jadon Sancho
Secara teknikal, Joshua Kimmich disifatkan sebagai pemain terbaik di posisi bek kanan di eropah. Malah ada masanya, Kimmich boleh bermain secara hybrid – beraksi sebagai pemain tengah. Namun dalam kecenderungan beliau membantu serangan Bayern melalui larian dan hantaran dari sisi dan tengah, Kimmich sentiasa meninggalkan ruang untuk membenarkan serangan balas pantas dari pasukan lawan di belakang.
Jadon Sancho adalah pemain yang memiliki kepantasan, corak permainan yang lebih direct dan untuk mengeksploitasi ruang sebegitu. Walaupun pemain berusia 19 tahun ini kebiasaannya beraksi di bahagian sayap kanan, Sancho berjaya menghasilkan 3 bantuan gol ketika beraksi di sebelah kiri. Peranan Sancho dalam perlawanan ini bukan sekadar untuk menyerang. Kimmich memiliki rekod 10 bantuan gol untuk Bayern setakat ini. Selain daripada menyerang, Sancho juga harus bijak membayangi aksi Kimmich ketika Bayern berada di fasa serangan.
Kingsley Coman vs. Marius Wolf
Pemain sayap pantas bakal berhadapan dengan seorang pemain sayap yang beraksi sebagai bek kanan. Pertembungan kedua-dua pemain juga mungkin berlaku di sebelah kiri. Kecederaan Lukasz Piszczek dan Achraf Hakimi memaksa Marius Wolf untuk beraksi dalam perlawanan ini. Bekas pemain sayap Eintracht Frankfurt ini adalah pemain yang rajin, namun bukan pemain pertahanan semulajadi. Naluri beliau sebagai pemain pertahanan mungkin kurang dengan terjahan dan keupayaan beliau untuk membaca gerakan bahaya dari lawan menjadi kerisauan utama.
Coman pula lebih banyak menghabiskan masa dengan rawatan sepanjang musim ini dan hanya menamatkan aksi 90 minit sebanyak dua kali dalam perlawanan Bundesliga. Ketika berada di prestasi terbaik, pemain dari Perancis ini adalah pemain yang lincah menggelecek. Namun isu kecergasan terus menjadi pertanyaan selepas kecederaan yang dialaminya dalam perlawanan pertengahan minggu lalu. Frank Ribery adalah pemain pilihan lain buat Kovac di posisi ini. Tanpa mengira siapa pun antara dua pemain ini yang bakal diturunkan, mereka pasti mahu mengeksploitasi kelemahan yang dimiliki Wolf.
Marco Reus vs. Javi Martinez
Kedua-dua pemain ini dianggap sebagai ‘veteran’ dan berkemungkinan besar berhadapan satu sama lain dalam perlawanan ini. Javier Martinez direhakan oleh Kovac di dua aksi terdahulu. Namun demikian, tidak ada pemain lain yang lebih sesuai dalam pilihan Kovac untuk menyekat Marco Reus.
Reus melalui musim terbaik beliau bersama Dortmund pada musim ini. 15 jaringan dan lapan bantuan gol dalam 22 penampilan menjadikan skuad muda Dortmund musim ini sebagai pasukan yang menarik untuk disaksikan. Persefahaman Reus dengan Sancho adalah antara satu faktor kebangkitan Dortmund musim ini. Selain daripada memiliki penyudah yang klinikal, Reus adalah pemain yang bijak mencari ruang di antara ‘poket’ dengan kombinasi hantaran bersama rakan. Di sinilah peranan utama Martinez untuk meneutralkan ancaman Reus.
James Rodriguez vs. Axel Witsel
James Rodriguez melalui prestasi yang baik sejak Januari. Beliau diturunkan dalam lapan perlawanan liga, menghasilkan empat gol dan tiga bantuan gol. Pemain antarabangsa Colombia ini amat bahaya dengan percubaan jarak jauh dan sentiasa bijak menghidu ruang untuk berbuat demikian. Ini bermakna sedikit ruang akan membenarkan beliau menghukum lawan.
Witsel bukan sahaja sekadar seorang pemain tengah bertahan. Tetapi ketenangan dan kebijaksanaan beliau adalah ciri penting utama dalam permainan pemain ini. Jika Witsel berjaya menyekat hantaran mencari James, ini akan menyukarkan – mungkin dengan bantuan Thomas Delaney – akan menyukarkan penyerang utama, Robert Lewandowski untuk memperolehi bola dan memberikan ancaman.
Penutup
Siapakah yang akan mendabik dada selepas selesai 90 minit perlawanan pada malam ini? Mampukah Bayern Munich memintas Borussia Dortmund untuk menduduki tangga teratas Bundesliga?
Atau adakah Dortmund akan melebarkan pendahuluan dan semakin selesa berada di puncak menuju ke penghujung musim? Siapa pun pemenang pada malam ini, ia pasti akan memberi kelebihan untuk memburu kejuaraan.