Ajax Amsterdam telah melakukan keputusan drastik terhadap barisan kejurulatihan pasukan apabila Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Edwin Van Der Sar dan Pengarah Bola Sepak, Marc Overmars menyingkirkan ketua jurulatih, Marcel Keizer.
Lebih mengejutkan apabila pembantu Keizer, Hennie Spijkerman dan bekas rakan sepasukan Overmars di Arsenal iaitu Dennis Bergkamp turut menjadi mangsa keputusan tersebut.
Keputusan mengejut ini dibuat selepas kedua-dua legenda yang memegang tampuk tertinggi dalam kelab itu melakukan perbincangan yang panjang berkenaan pertukaran barisan kejurulatihan yang ingin dilakukan termasuk Bergkamp.
Berita tersebut disahkan selepas Ajax tewas ditangan FC Twente pada perlawanan Piala KNVB.
Bergkamp, Keizer dan Spijkerman kini sedang membincangkan penyelesaian kontrak selepas tidak lagi mendapat keyakinan yang cukup dalam kepimpinan mereka membimbing pasukan.
Perkara itu sudah pasti memberikan tamparan kepada banyak pihak kerana Ajax kini menghuni tangga kedua saingan liga domestik. Ketinggalan lima mata dibelakang PSV Eindhoven.
Edwin Van Der Sar jelas mempunyai alasan tersendiri untuk menguatkan hujah mengenai keputusan yang telah dibuat oleh beliau dan Overmars.
”Kami mempunyai musim panas yang tidak baik dan permulaan yang buruk untuk musim ini,” kata bekas penjaga gol yang menyinar bersama Manchester United itu.
”Dari sudut pandang sukan, tersingkir pada kelayakan Liga Juara-Juara Eropah merupakan satu perkara yang berada di prestasi yang rendah.”
”Marc Overmars dan saya telah beberapa kali berbincang dalam beberapa bulan ini mengenai ketidakstabilan pasukan utama Ajax. Kami tidak yakin yang kami mampu mengecapi tahap dimana kami berusaha untuk Ajax dengan cara begini.”
Berkenaan pemecatan Bergkamp pula turut dinyatakan bahawa perbezaan pendapat dengan Overmars mengenai dasar teknikal yang dilaksanakan menyebabkan perkara tersebut berlaku.
Selain daripada gagal melayakkan diri ke saingan utama Liga Juara-Juara Eropah dan tersingkir di Piala KNVB, Ajax juga tidak berupaya untuk mara ke saingan Piala Europa selepas kecundang ditangan wakil dari Norway, Rosenberg BK.
Ajax kini akan dibimbing sementara oleh Micheal Reiziger yang dibantu oleh Winston Bogarde. Cabaran pertama buat duo ini adalah bertemu Willem II di laman sendiri.