Denis Cheryshev, namanya tiba-tiba menjadi sebutan selepas seminggu Piala Dunia 2018 berlangsung. Pemain ini bolehlah dianggap sebagai pilihan kedua buat Rusia pada awalnya.
Tiga gol dalam dua aksi Piala Dunianya bersama Rusia dan dua anugerah pemain terbaik perlawanan menjadikan sahamnya kini meningkat mendadak. Siapakah Denis Cheryshev?
Di Stadium Luzhniki, Cheryshev masuk di minit ke-24 dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia menentang Arab Saudi, menggantikan Alan Dzagoev yang cedera.
Cheryshev tidak menunggu lama untuk mencetak nama apabila meledak gol pada minit ke-43 dan ke-90 untuk membantu Rusia membenam cabaran wakil Asia, Arab Saudi 5-0.
Kembali terpilih selepas 2 tahun tersisih
Berusia 27 tahun, namanya tetap asing di kalangan penyokong Rusia. Ini kerana Cheryshev merupakan satu-satunya pemain Rusia yang seluruh kariernya beraksi di luar negara, atau lebih tepat lagi di Sepanyol.
Lebih dua tahun namanya disisihkan setelah digugurkan daripada skuad Piala Dunia 2014 dan Euro 2016. Kali terakhir Cheryshev beraksi bersama Rusia ialah pada November 2015 menentang Croatia.
“Saya berasa cukup baik, saya telah menyelesaikan semua latihan pada hari ini. Saya sudah lama tidak berada di sini dan saya sangat gembira,” ujar Cheryshev kepada media tempatan.
Pada awal persiapan untuk Piala Dunia, Cheryshev bukanlah pilihan utama untuk menggerakkan jentera tengah. Jurulatih Rusia, Stanislav Cherchesov dikatakan sudah mempunyai pilihan pemain lain untuk posisi itu.
Namun Cheryshev membuktikan walaupun tampil sebagai pemain gantian, beliau mampu menjadi inspirasi buat Rusia, yang tidak pernag menang lima perlawanan Piala Dunia sebelum ini.
Hanyalah pilihan kedua
Sebenarnya Cheryshev adalah pilihan kedua kepada bintang CSKA Moscow, Alan Dzagoev di posisi tengah. Dzagoev dilabel sebagai pemain terbaik di Liga Premier Rusia.
Dzagoev adalah seorang playmaker yang kreatif, mengawal perlawanan dengan hantaran-hantaran pendek, dan sering mencipta peluang buat jentera serangan.
Sebagai pemain yang menjadi kegemaran ramai, Dzagoev sudah dijangka akan disenarai namun pemilihan Cheryshev sebagai anggota akhir senarai 23 pemain mengundang kritikan.
Bagi pemerhati, Cheryshev tidak akan digunakan langsung di Piala Dunia nanti. Sebagaimana beliau pernah berada dalam bayangan pemain utama Real Madrid, itu yang dijangkakan bakal berlaku di Rusia.
Namun, kini sebaliknya telah berlaku dan Rusia perlu berterima kasih atas kecederaan yang menimpa Dzagoev.
Real Madrid
Karier Cheryshev bermula di Sporting Gijon dan Burgos sebelum dibawa ke Real Madrid oleh bekas Presiden, Florentino Pérez pada 2002 dan mula bersama skuad simpanan mereka pada 2009.
Bapa Cheryshev , Dmitri Cheryshev yang menyertai Sporting Gijon pada 1996 telah membawa anaknya ke Sepanyol pada usia 5 tahun.
Beraksi bersama Real Madrid B dan bermain di posisi sayap kiri, Cheryshev telah menjaringkan 22 gol daripada 109 penampilan, menjadikan beliau sebagai prospek skuad utama Los Blancos ketika itu.
Gol pertamanya bersama skuad utama adalah ketika aksi Copa Del Rey menentang Cadiz pada Disember 2015. Sejak 2009, dia berada di dalam bayangan pemain lain di Real Madrid.
Siapakah pemain yang beraksi di posisinya ketika itu? Tidak lain dan tidak bukan, pemain yang kini antara pesaingnya untuk penjaring terbanyak, Cristiano Ronaldo.
Pernah ditawarkan untuk berhijrah ke EPL
Pada 2012, menurut laporan Marca, Real Madrid pernah menolak tawaran €6 juta dari Everton untuk mendapatkan Cheryshev. Ketika itu, dia baharu sahaja mendapat debut bersama Rusia.
Dan kemudian pada pertengahan tahun 2015, Everton sekali lagi membuat tawaran untuk mendapatkannya dan kali ini mereka terpaksa bersaingan bersama-sama Liverpool dan Arsenal.
Ditolak sekali lagi, tawaran ketiga menyusul daripada Everton untuk meminjam Cheryshev namun Real Madrid tidak berminat untuk melepaskan pemain mereka itu.
Dengan situasi terkini di Rusia dan dikatakan kurang mendapat peluang bersama kelabnya, Villarreal, mungkinkah Everton masih berminat untuk membuat tawaran kali ke-4?
Penutup
Sedar ataupun tidak, Denis Cheryshev merupakan pemain simpanan pertama yang berjaya menjaringkan gol dalam sejarah perlawanan pembukaan Piala Dunia.
Selepas dua perlawanan, dengan tiga gol, Cheryshev juga adalah penjaring terbanyak Rusia sepanjang sejarah penglibatan negara tersebut dalam ketiga-tiga edisi sebelum ini.
“Tiada perkataan untuk menggambarkan perasaan saya ketika ini. Saya tidak pernah bermimpi saat sebegini. Saya gembira kami menang tetapi kami tidak boleh berhenti di sini,” ujar Cheryshev.
Buat pertama kali dalam sejarah kariernya, Cheryshev berada di tempat yang betul dan pada masa yang tepat serta memanfaatkan peluang dengan sebaik-baiknya.