‘Dendam Yang Terlunas’ – Perjalanan Panjang Trabzonspor Menjuarai Liga Turki & Memecahkan Dominasi Kelab Istanbul

Trabzonspor Liga Turki Juara

Trabzonspor telah dinobatkan sebagai juara Liga Turki buat kali pertama dalam tempoh 38 tahun. Kejayaan itu disambut secara besar-besaran oleh ratusan ribu penyokongnya sama ada di dalam mahupun di luar stadium.

Kejuaraan tersebut dikecapi setelah kelab tersebut terikat 2-2 berdepan Altalyaspor dalam aksi Super Lig, memberikan mereka kelebihan sembilan mata mengatasi pasukan di tangga kedua Fenerbahce dengan tiga perlawanan berbaki pada musim ini.

77 mata yang dikumpul selepas 35 perlawanan itu sudah cukup untuk Trabzanspor yang mempunyai rekod pertemuan yang lebih baik ke atas Fenerbahce, sekaligus menamatkan dominasi kelab Istanbul dalam saingan Liga Turki buat sekian lama.

Petir dari Laut Hitam

Istanbul bukan sahaja sebuah kota bersejarah, malah ia merupakan wilayah bertapaknya tiga kelab paling berjaya dalam sejarah bola sepak Turki, iaitu Galatasaray, Fenerbahce dan Besiktas.

Sejak beberapa dekad yang lalu, tiga kelab ini telah menguasai kejuaraan domestik dengan memenangi 57 daripada 65 gelaran Super Lig.

Musim 2019/20, satu lagi kelab dari bandar dua benua tersebut iaitu Istanbul Basaksehir muncul juara, sekaligus menambah lagi senarai kelab pesaing kejuaraan dari ibu kota berkenaan.

Trabzanspor muncul kelab pertama yang berjaya memecahkan penguasaan kelab Istanbul pada musim 1975/76 dan kemudian memenangi lima lagi kejuaraan dengan yang terakhir adalah pada musim 1983/84.

Trabzon bukanlah sebuah bandar besar. Populasinya hanya sekitar 300 ribu orang penduduk. Ia terletak di pesisir Laut Hitam di bahagian pantai timur laut Turki yang menjadi tumpuan pemancing dan diberikan gelaran “The Black Sea Storm”.

Pegelutan kelab Istanbul

Musim ini, Trabzonspor hanya tewas dua kali sahaja. Penyerang Denmark, Andreas Cornelius muncul sebagai penjaring terbanyak pasukan dengan 12 gol. Tetapi yang turut mencuri tumpuan adalah kualiti Marek Hamsik di bahagian tengah.

Kejayaan ini juga turut disumbangkan oleh pergelutan kelab-kelab Istanbul. Galatasaray walaupun beraksi di kejohanan Eropah musim ini sekadar menduduki tangga ke 12. Tidak terkecuali Besiktas yang terumbang ambing di kedudukan pertengahan liga.

Trabzonspor pula semakin kukuh dari segi pengurusan dan kewangannya walaupun hanya beberapa musim lalu mereka telah digantung daripada menyertai kejohanan Eropah kerana gagal memenuhi peraturan kewangan FFP.

Keras dan melawan

Tranbzonspor juga pernah terpalit dengan peristiwa ‘hitam’ yang lain. Pada 2015 selepas terikat 2-2 menentang Gaziantepstor, pengurus Trabzonspor, Ibrahim Haciosmanoglu menuduh pengadil sengajar tidak memberikan penalti kepada pasukannya pada lewat permainan.

Kesemua pengadil perlawanan kemudian dikunci dalam bilik persalinan sehingga jam 4.00 pagi. Mereka hanya dibenarkan keluar selepas Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan sendiri menghubungi pihak kelab dan menuntut agar semua dibebaskan.

Dendam Trabzonspor terhadap kelab Istanbul juga berpunca dari kejadian kira-kira sedekad yang lalu. Pada musim 2010/11, mereka telah menamatkan saingan sebagai naib juara di belakang Fenerbahce yang hanya dipisahkan dengan perbezaan gol.

Tetapi kelab Istanbul tersebut terpalit dengan salah satu skandal terbesar dalam bola sepak Eropah. Gejala mengatur perlawanan telah didedahkan pada musim tersebut dan Fenerbahce telah disingkirkan dari kejohanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) oleh UEFA.

Mengambil kira kedudukan Trabzonspor sebagai naib juara dalam saingan liga domestik, kelab itu sepatutnya ditabalkan sebagai juara. Malangnya Persekutuan Bola Sepak Turki tidak membatalkan kejuaraan Fenerbahce. Keputusan itu ternyata menimbulkan kemarahan warga Trabzon.

Penutup

38 tahun bukanlah satu tempoh yang singkat. Kejayaan yang dikecapi Trabzonspor pada musim ini pastinya cukup manis untuk dikenang.

Bagi penyokong The Black Sea Storm, tiada yang lebih istimewa daripada merampas kejuaraan daripada kelab-kelab Istanbul, terutamanya selepas apa yang telah mereka lalui dalam beberapa dekad ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN