Minit permainan merupakan sesuatu yang sangat penting buat mana-mana pemain profesional untuk terus tampil konsisten serta mewujudkan peluang mewakili pasukan kebangsaan dengan lebih cerah.
Apatah lagi jika ia membabitkan pemain muda yang dianggap memiliki prospek begitu cerah untuk beraksi bersama pasukan negara atau mara lebih jauh dalam dunia bola sepak profesional.
Itu mungkin apa yang difikirkan oleh penyerang muda Kuala Lumpur City (KL City) iaitu Haqimi Azim Rosli yang menyatakan kepada Astro Arena untuk beraksi bersama pasukan lain pada musim hadapan.
Haqimi antara bintang muda negara yang dianggap memiliki masa depan cukup cerah untuk menyinar serta dilihat sesuai untuk menjadi pelapis kepada posisi serangan negara pada masa hadapan di pentas antarabangsa.
Menyedari beliau kurang diberi peluang pada musim lalu, Haqimi bersedia untuk dipinjamkan kepada kelab lain demi meningkatkan lagi prestasinya di atas padang.
“Kalau tahun ini saya masih lagi kurang minit permainan, saya akan minta kepada jurulatih serta orang atasan KL untuk pergi dengan status pinjaman bersama mana-mana pasukan yang memberi peluang saya bermain dan dapat minit permainan,” jelas Haqimi menerusi perkongsian Fadhirul Shuhaimi yang merupakan wartawan Astro Arena.
Tahun lalu menyaksikan Haqimi diberi peluang beraksi sebanyak 16 perlawanan secara keseluruhan dalam saingan domestik bersama KL City dengan merekodkan satu jaringan serta satu bantuan gol sahaja.
Haqimi juga ketika ini menjadi antara pemain pilihan utama untuk skuad bawah 23 (B-23) negara dan sudah pun memberi impak tersendiri khususnya di posisi serangan sejak tahun lalu.
Bersama pasukan senior negara, Haqimi telah pun membuktikan beliau kini bersedia untuk menggalas tugas selaku penyerang harapan Harimau Malaya apabila beliau berjaya merekodkan satu gol sewaktu dalam saingan Piala AFF.
Secara keseluruhan, Haqimi kini menjadi antara penyerang muda tumpuan negara kerana kebolehan beliau untuk menjaringkan gol dari pelbagai arah serta sangat lincah mengawal bola.
Jika musim ini beliau terus kekal bersama KL City, pastinya impian Haqimi ingin terus mendapatkan sebanyak mungkin minit permainan untuk mencerahkan peluang beliau menyertai kem senior negara.
Namun jika segalanya masih tidak seperti diinginkan, adalah lebih baik buat Haqimi untuk cuba menyertai pasukan lain seperti Perak, PDRM, atau Terengganu yang dilihat lebih mesra dalam penggunaan pemain muda.
Pada pandangan anda, adakah Haqimi perlu kekal bersama KL City atau berhijrah menyertai pasukan baharu pada musim hadapan demi minit permainan?