Kerjasama yang terjalin antara gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan kelab ternama Eropah, Juventus telah merintis kunjungan wakil skuad juara Liga Super enam tahun berturut-turut itu ke Turin.
Menurut sumber JOHOR Southern Tigers, agenda kunjungan delegasi JDT itu adalah bertujuan bagi menimba ilmu serta mempelajari hal ehwal pengurusan bola sepak Juventus, penjagaan stadium dan kursus kejurulatihan.
Antara yang dilihat turut serta dalam kunjungan tersebut adalah ketua jurulatih, Benjamin Mora bersama-sama Alistair Edwards, Martin Prest dan beberapa kakitangan JDT.
Ternyata dengan kunjungan yang bermula semalam itu, JDT pasti bakal menjelmakan lebih banyak pembaharuan dalam usaha mereka untuk terus menjadikan pembangunan kelab tersebut sebagai yang terbaik di Malaysia.
Sebelum itu, seperti yang diketahui bahawa kerjasama erat yang terjalin antara kedua-dua kelab adalah inisiatif hasil dari perbincangan positif DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja bersama Andrea Agnelli, Pengerusi Juventus ketika lawatan baginda pada Mac lalu.
Kredit foto: JOHOR Southern Tigers