Delegasi FAM Lakukan Kunjungan Hormat Ke Atas Kedah FA

Delegasi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang diketuai oleh Presidennya, Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin melakukan kunjungan hormat ke atas ahli gabungannya, Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) di Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini.

Kunjungan hormat ini turut disertakan dengan satu mesyuarat khas antara FAM dan KFA untuk taklimat dan penerangan mengenai peta hala tuju atau Roadmap FAM iaitu F:30 dan Projek Pemerkasaan Ahli Gabungan (ACE), serta sesi perbincangan dan bertukar pandangan mengenai beberapa isu berkaitan bola sepak tempatan.

Delegasi FAM disambut oleh Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir selaku Presiden KFA; Timbalan Presiden KFA, Tuan Haji Abdul Rahman Abdullah; Naib Presiden KFA, Anas Hafiz Mustaffa, Khamal Idris Ali dan Mohd Yusuri Yusof; barisan Exco KFA serta Setiausaha Kehormat KFA, YB Mohd Asmirul Anuar Aris.

FOTO: KFA

“FAM mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Seri Haji Mukhriz dan KFA di atas kesudian menerima kunjungan ini yang merupakan kunjungan hormat kedua selepas kami bertemu Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP), dua minggu lalu.

“Tujuan utama kunjungan hormat ini sudah tentu adalah untuk kami di FAM dapat mengenali lebih rapat barisan pengurusan tertinggi persatuan bola sepak di peringkat negeri yang kebanyakannya kini dibarisi orang baharu.

“Kami mahu memastikan ahli-ahli gabungan kita ini memahami serta mempunyai citarasa atau hala tuju yang sama dengan apa yang sedang diusahakan FAM menerusi Roadmap F:30 dan projek ACE.

“Jika tidak mencapai 100 peratus persamaan sekali pun, andai berjaya mencecah 70 peratus keserasian dengan ahli-ahli gabungan ini, ia sudah cukup baik dalam memastikan mereka dapat memahami apa yang sedang FAM usahakan ini,” kata Dato’ Haji Hamidin.

Antara wakil FAM yang menyertai kunjungan tersebut ialah Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi; Naib Presiden FAM, Dato’ S Sivasundaram; Exco FAM, Dato’ Aminuddin Omar, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya, Dato’ Jefferey Low Han Chau, ACP (B) Md Dali Wahid dan Dato’ Suraya Yaacob serta Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

FOTO: FAM
Kedah adalah kilang pengeluar pemain muda berbakat

Hamidin turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada KFA kerana berjaya menganjurkan Liga THB-KFA ini yang menjadi platform terbaik mengetengahkan bakat-bakat muda negeri Kedah.

Majlis pelancaran Liga THB-KFA itu disempurnakan Tunku Bendahara Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah yang merupakan penaung bagi liga berkenaan.

FOTO: KFA

“Apa yang dilaksanakan KFA ini adalah adalah tepat dan perlu dicontohi negeri-negeri lain dan mereka adalah pengeluar (kilang) pemain muda yang banyak beraksi di peringkat kebangsaan,” katanya.

“Untuk mendapatkan pemain seperti Safawi Rasid dan Akhyar Rashid hanya dalam seribu ada satu kami dapat, jadi kalau tiada usaha di peringkat bawah, memang kami tiada langsung pemain untuk mewakili negara.

“FAM berasakan persatuan bola sepak negeri kena adakan program pembangunan bola sepak peringkat bawahan secara berterusan supaya negara tidak ketandusan pemain di masa depan,” kata Hamidin dalam Stadium Astro.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN