Pertahanan tengah Liverpool, Dejan Lovren berkata, selain perlu bermain dengan baik ketika berdepan Manchester City awal pagi nanti, beliau turut berharap yang pasukannya memiliki ‘tuah’ yang baik berbanding lawan mereka itu.
Liverpool akan berkunjung ke Etihad dengan misi memburu kemenangan ke-18 sekaligus mengekalkan rekod tanpa kalah The Reds dalam saingan EPL selepas 21 perlawanan.
Kukuhkan pertahanan
Lovren yang sebelum ini terpaksa diketepikan akibat kecederaan selepas berakhirnya kempen Piala Dunia, kembali memperkuatkan kesebelasan utama skuad Jurgen Klopp.
Tampil sebanyak lapan kali di EPL dengan bergandingan bersama Virgil van Dijk jelas telah menunjukkan impak yang positif posisi pertahanan Liverpool.
Sepanjang lapan perlawanan yang dimana Lovren beraksi, Liverpool berjaya mengurangkan defisit jaringan yang dibolosi dengan hanya tiga gol sahaja.
Ini menjadikan Liverpool sebagai satu-satunya pasukan di EPL yang hanya dibolosi kurang dari 10 gol selepas 20 perlawanan.
Harap tuah di Etihad
Mengulas mengenai perlawanan sebentar lagi, Lovren mahu memastikan pasukannya berjaya membawa pulang tiga mata penting di Etihad.
Lovren bagaimanapun mengakui Man City bukanlah pasukannya yang mudah untuk ditewaskan kerana tuan rumah juga inginkan kemenangan.
Namun, jika para pemain Liverpool berjaya beraksi dengan baik dan tuah memihak kepada mereka, segala kemungkinan boleh berlaku.
“Kami adalah pasukan yang selalu inginkan kemenangan,” tegas Lovren.
“Apakah mungkin kami akan menang? Itu boleh terjadi jika anda memiliki hati yang tekad, sikap yang benar untuk bertarung di setiap sudut perlawanan dan bertahan dengan cukup baik.”
“Dengan semua hal tersebut, anda juga harus memerlukan nasib yang baik. Tetapi, Man. City tidak akan begitu sahaja berkata ‘Ambil sahaja tiga mata’. Perlawanan ini tidak akan berjalan seperti itu. Ini akan menjadi perlawanan besar bagi kedua-dua pasukan,” kata pemain antarabangsa Croatia tersebut.