Pemain sayap menyerang Melaka United, S. Deevan Raj menyatakan yang beliau sangat mengagumi karekter yang dipamerkan oleh penyerang import baharu, Sony Norde, yang menyertai kem Hang Tuah untuk saingan Liga Super musim 2020.
Di saat semua pemain merasakan Sony Norde akan mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu dan membentuk gandingan bersama rakan sepasukan lain, penyerang berusia 30 tahun itu mempamerkan watak sebaliknya setakat ini.
Sony Norde sah menyertai Melaka United pada 17 Januari lalu dan telah menjaringkan empat gol dalam aksi pra-musim setakat ini termasuk hatriknya ketika menumbangkan Negeri Sembilan 5-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 23 Januari lalu.
Hadir selaku pilihan keempat selepas Melaka United dikatakan gagal mendapatkan bekas penyerang Everton, Victor Anichebe, Deshorn Brown dan juga Amido Balde, penyerang skuad kebangsaan Haiti itu tidak mengambil masa yang lama untuk mempamerkan sentuhannya.
Menurut Deevan Raj yang merupakan pilihan utama Melaka United ketika saingan Piala Malaysia 2019 yang lalu, karekter Sony Norde sangat bagus dan pemain yang dianggap ‘dewa’ dikalangan penyokong kelab lamanya, Mohun Bagan itu sentiasa menasihati mereka.
“Rasa macam kembali berada di sekolah apabila saya banyak belajar daripada pemain-pemain di sini. Sony [Norde] memiliki karekter yang bagus di dalam pasukan. Beliau meledak banyak gol dalam pra-musim, tetapi masih merendah diri,” ujar Deevan Raj.
“Beliau sentiasa memberikan kami nasihat. Kami sangkakan beliau akan mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran bola sepak Malaysia, namun beliau cepat menyesuaikan diri dan membentuk kesefahaman bersama rakan sepasukan,” tambahnya.
Deevan Raj mula mendapat tempat di dalam kesebelasan utama dalam saingan Piala Malaysia selepas jarang membuat penampilan di awal musim lalu namun aksinya berjaya membuatkan pengendali, Zainal Abidin Hassan terus memberikannya peluang untuk beraksi.
Menurut Deevan Raj, Zainal Abidin Hassan adalah antara sebab beliau memilih untuk kekal berkhidmat di Melaka United biarpun pasukan tersebut menghadapi masalah pembayaran gaji selain menyatakan atas dorongan para penyokong skuad Hang Tuah.
“Para penyokong banyak memberikan sokongan dan ia sangat memberikan dorongan [buat dirinya]. Ini adalah masanya untuk saya kembalikan sinar di Stadium Hang Jebat dengan aksi permainan saya,” tekad pemain berusia 25 tahun itu kepada portal The Star.
KREDIT FOTO: MELAKA UNITED