Pasukan Kedah Darul Aman (KDA FC) baru sahaja mengumumkan import kedua mereka semalam dengan Dechi Marcel menjadi pilihan terbaru skuad ini musim depan.
Marcel yang tidak asing lagi dalam arena bola sepak Malaysia sah menjadi pemain import terbaharu Kedah yang diumumkan semalam di laman rasmi pasukan tersebut.
Pemain tersebut dilihat sebagai nafas baharu di posisi tengah Kedah dan dilihat mampu memberi sengat apabila sebelum ini cemerlang bersama pasukan Terengganu.
Kebolehan beliau dalam mengawal bola serta rajin bergerak serata padang mampu memberi impak yang baik buat Kedah.
Sebelum itu, Rabih Ataya gagal memberi nilai positif yang baik buat Kedah di bahagian tengah dan kemasukan Marcel dilihat sesuatu yang tepat dibuat oleh pihak pengurusan.
Marcel yang berasal dari Ivory Coast serta berusia 30 tahun ini memulakan karier bola sepak di Malaysia dengan menyertai UiTM FC sebelum itu.
Pemain yang digelar Kante ini diumumkan melalui video yang dikongsikan oleh media rasmi Kedah kepada para penyokong semalam dan mendapat pelbagai reaksi dari peminat skuad hijaukuning tersebut.
Dengan kehadiran Marcel, kini hanya tiga lagi pemain import Kedah yang menanti masa untuk diumumkan dalam masa akan datang.
Kedah yang bakal beraksi di saingan Piala AFC musim depan dilihat giat menyiapkan pasukan dengan turut menandatangani pemain-pemain tempatan baharu bagi memantapkan pasukan.