Sering kali kita melihat pemain-pemain muda negara menyerlah ketika kejohanan peringkat umur. Namun tidak semua pemain-pemain ini akhirnya akan berjaya dan beraksi untuk skuad senior pasukan Liga Malaysia, atau pun pasukan negara selepas itu.
Ada di kalangan pemain ini bakat mereka hilang begitu sahaja, dan tidak kurang juga yang gagal memenuhi potensi sebenar seperti ketika ditunjukkan pada usia yang lebih muda.
Bercakap mengenai perkara tersebut, Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia menganggap perkara tersebut adalah disebabkan budaya bola sepak di dalam negara – iaitu perkara yang melibatkan sikap dan mentaliti pemain di bilik persalinan.
Mengulas perkara itu seperti yang dipetik daripada Berita Harian, bekas pemain pasukan kebangsaan Belanda itu berkata:
“Pandangan ini akan membuat ada pihak yang tidak gembira dengan saya.
“Namun saya merasakan masalah ini antaranya disebabkan budaya bilik persalinan skuad senior di mana mereka perlu tunjukkan bahawa mereka pemain profesional dan berdisiplin,” kata De Roo.
Kerana itu, De Roo juga berpendapat semua pihak perlu bertanggungjawab untuk memberikan pendidikan sewajarnya kepada generasi pemain baharu dalam negara, dalam persiapan mereka menyertai pasukan senior pada masa akan datang.
“Kita perlu pastikan mereka mengikut contoh yang baik dan pemain yang tepat tanpa mengira apa sahaja situasi yang bakal mereka tempuhi.
“Ramai pemain berbakat yang hilang daripada radar kerana mereka bergelut untuk mengawal situasi ini.
“Jadi mental mereka perlu kuat. Apa yang saya lihat, kebanyakan pemain sudah selesa dengan gaji besar, jadi mereka nampak sedikit malas.
“Sudah tentu ini bukan contoh yang baik kepada pemain muda. Jadi generasi baharu ini perlu bersedia dengan budaya sebegini kerana mereka pula akan menjadi contoh kepada generasi seterusnya,” jelas De Roo.
Apa yang De Roo mahu sampaikan ialah supaya generasi pemain muda negara sentiasa mahu memberikan yang terbaik, dan tidak mudah berpuas hati dengan pencapaian mereka. Mereka harus memiliki sikap positif untuk sentiasa menjadi seorang pemain yang lebih baik, sesuai dengan gelaran pemain profesional yang diberikan.