Apa lagi tugasan atau tanggungjawab yang dipikul oleh penyerang naturalisasi negara Guilherme de Paula kalau bukan untuk menjaringkan gol menjelang aksi persahabatan antarabangsa berdepan Jordan dan Uzbekistan.
Pemain berusia 34 tahun itu antara yang disenaraikan oleh ketua jurulatih Tan Cheng Hoe untuk menyertai 22 pemain ke Amman, Jordan meskipun panggilannya itu mendapat reaksi negatif segelintir peminat bola sepak tempatan.
Namun Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, Datuk Mohd Yusuff Mahadi dalam temubualnya bersama Bernama menegaskan utama penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu sememangnya untuk mendapatkan gol.
Tan Cheng Hoe Panggil 6 Muka Baharu, De Paula Terus Dapat Kepercayaan Sertai Harimau Malaya
“Kalau tiap-tiap perlawanan dia tak boleh jaringkan gol, tak ada makna lah dia boleh membantu kita (pasukan negara). Sebab kita ambil dia khas bagi mendapatkan gol, jadi itu menjadi tanggungjawabnya,” ujar Yusoff.
Yusoff yang juga pengurus skuad kebangsaan berkata De Paula yang telah dipilih sebagai pemain naturalisasi ketiga negara harus bersedia dari segi mental dan menetapkan matlamat uuntuk meledak seberapa banyak gol.
Persembahan ‘lesu’ penyerang kelahiran Brazil itu dalam tiga penampulan untuk skuad kebangsaan pada saingan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 telah dikritik hebat.
Malah sejak menyertai JDT pada pertengahan musim ini, beliau lebih banyak memanaskan bangku simpanan dan masih gagal untuk menjaringkan sebarang gol untuk pasukan baharunya itu.
Lalu peminat bola sepak tempatan mencadangkan beberapa nama lain yang dianggap lebih layak untuk dipanggil oleh Cheng Hoe bagi menaburkan khidmat mereka di peringkat antarabangsa seperti Amri Yahyah (Sabah), Aidil Zafuan (Negeri Sembilan )dan Nurshamil Abd Ghani (Kelantan).
3 Sebab Kenapa Cheng Hoe Patut Panggil Nurshamil Sertai Skuad Harimau Malaya
Namun bagi Yusoff, penyokong Malaysia perlu memberikan masa dan ruang untuk De Paula menyesuaikan diri bersama pasukan negara kerana rekod jaringannya sejak bersama Selangor, Kuala Lumpur dan Perak telah membuktikan keupayaannya.
“Kalau tengok perlawanan-perlawanan lepas, tak banyak bola sampai ke dalam kawasan lawan kita, jadi nak menyalahkan De Paula seorang pun tidak adil. Bagi saya episod itu telah berlalu dan De Paula kena buktikan dia pilihan tepat menjadi penyerang negara.”