Matthijs de Ligt akhirnya sudah memutuskan kelab mana yang akan beliau sertai. De Ligt dikaitkan dengan banyak sekali kelab dalam jendela perpindahan kali ini. Antaranya Manchester United, Barcelona, PSG dan juga Juventus.
Juventus kemudian menjadi pasukan yang mendahului persaingan – dan kini mereka tinggal selangkah sahaja lagi untuk mengesahkan pemilikan De Ligt.
Matthijs De Ligt tiba di Turin untuk melengkapkan prosedur perpindahan. Difahamkan Juventus dan Ajax mencapai persetujuan untuk bayaran sekitar £67.5 juta/€70 juta – menyamai harga yang dipinta Ajax sebelum ini.
HE'S HERE! Matthijs de Ligt arrives in Turin! 🛬 pic.twitter.com/3AGkoQMKcN
— JuventusFC 🇬🇧🇺🇸 (@juventusfcen) July 16, 2019
Beberapa hari lalu Juventus dikatakan cuba meminta harga lebih rendah untuk pemain berusia 19 tahun itu, namun ianya ditolak oleh Ajax.
Dalam video ringkas yang dimuat naik di akaun media sosial rasmi kelab, De Ligt berkata: “Saya gembira untuk berada di sini.”
DELIGTED? 😉 pic.twitter.com/tcO2YPBAHN
— JuventusFC 🇬🇧🇺🇸 (@juventusfcen) July 16, 2019
De Ligt adalah sasaran utama Juventus bagi menggantikan pemain seperti Leonardo Bonucci yang sudah semakin berusia. Kedua-duanya memiliki gaya permainan yang sama iaitu bek tengah tipikal’Libero moden’.
Bek tengah yang sangat bagus dengan bola di kaki serta mampu menjadi perancang daripada garisan paling bawah.
Ejen beliau, Mino Raiola mendedahkan sebelum ini, keutamaan untuk De Ligt adalah minit perlawanan.
Ia antara perkara yang tidak dapat dijamin oleh Barcelona kepada pemain itu, walaupun kelab Catalan itu antara yang terawal merisik De Ligt.
De Ligt melakukan debut bersama Ajax pada 2016. Beliau sudah membantu kelab itu memenangi Eredivisie dan Piala Belanda.
Selain itu, De Ligt juga membantu Ajax mara ke final Liga Europa 2017 dan separuh akhir UCL 2019.
De Ligt menjaringkan 8 gol daripada 77 penampilan bersama Ajax – kelab yang beliau sertai sejak berusia 9 tahun.
Pada Mac 2018, Ajax melantik beliau sebagai kapten kerana memiliki kepimpinan yang sangat baik dan pemain yang cepat matang.
Di peringkat antarabangsa, De Ligt menjadi bek utama pasukan Belanda – melakukan debut untuk The Oranje pada Mac 2017, walaupun ketika itu beliau hanya bermain 2 perlawanan liga.
Beliau membantu Belanda mara ke final UNL 2019. Dan selepas tamat perlawanan akhir menentang Portugal, De Ligt mendedahkan bintang Juventus, Cristiano Ronaldo mahu beliau datang ke Juventus.