Selain dari tersingkirnya Jerman dari Piala Dunia 2018, penyingkiran Sepanyol turut mendapat perhatian ramai pihak.
Mereka tewas dengan cara yang tidak sepatutnya mereka kalah. Mana tidaknya, mereka merekodkan lebih 1000 hantaran dalam perlawanan menentang Rusia dan tewas di penentuan sepakan penalti.
Siapakah yang bersalah dalam segala kegagalan Sepanyol di Rusia?
Jika anda bertanya kepada media Sepanyol, mereka akan tudingkan jari mereka kepada penjaga gol – David De Gea.
Bagi mereka, De Gea telah melakukan satu rekod yang cukup teruk untuk seorang penjaga gol di Piala Dunia.
Akhbar MARCA telah membidas prestasi De Gea. Hal ini kerana beliau telah melepaskan peluang terbaik untuk membuktikan beliau adalah penjaga gol terbaik di dunia.
“David De Gea tidak menunjukkan prestasi yang terbaik dalam 4 perlawanan terpenting dalam karier beliau dan statistik membuktikannya.”
“Tetapi adalah tidak tepat untuk menyalahkan beliau sepenuhnya diatas kegagalan Sepanyol.”
De Gea hanya mampu menyelamatkan 1 daripada 7 percubaan tepat ke arah pintu gol Sepanyol sepanjang Piala Dunia ini.
6 daripadanya masuk ke dalam pintu gol. Cukup berbeza persembahan De Gea ketika mewakili Manchester United berbanding ketika mewakili Sepanyol.
Akhbar El Mundo Deportivo pula menggangap De Gea sebagai “hantu” ketika aksi beliau menghadapi 4 sepakan penalti Rusia.
Beliau gagal menyelamatkan kesemua sepakan penalti malah ketika Aleksandr Golovin mengambil sepakan penalti, bola rembatan pemain itu menembusi De Gea.
“Piala Dunia ini menjadi satu mimpi ngeri buat De Gea.”
“Tiada siapa boleh jelaskan kepada kami macam mana beliau nak selamatkan kesemua penalti itu.”
Dengan persembahan buruk ini, adalah masa depan De Gea sebagai penjaga gol utama Sepanyol kini menjadi tanda tanya?