Selepas mengharungi permulaan yang sedikit hambar bersama Jose Mourinho, Manchester United ketika ini sedang menikmati peningkatan prestasi pasca ‘pemerintahan’ pengurus kelahiran Portugal tersebut.
Melihat kepada perkembangan positif yang sedang dilalui, David De Gea menyifatkan bahawa The Red Devils kini telah menjadi seperti Manchester United yang sebenar.
Beliau turut menganggap kehadiran Ole Gunnar Solskjaer selaku pengurus sementara telah membawa kegembiraan di kem United.
Ketika empat kemenangan awal United dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelum ini dikatakan hanya kerana bertemu pasukan bawahan, mereka menafikan tanggapan tersebut apabila berjaya menundukkan pasukan di tangga ketiga, Tottenham Hotspur pada awal pagi tadi.
Ia diserikan lagi dengan aksi cemerlang yang dipamerkan De Gea menafikan serangan bertali-arus dilancarkan Spurs.
”Pengurus (Ole Gunnar Solskjaer) telah membawa kegembiraan buat pasukan. Para pemain beraksi dengan sangat baik dan pasukan ini sangat kuat ketika ini.”
”Kami mengetahui bagaimana cara untuk mengawal permainan, mencipta peluang. Ia bagus untuk kami.”
”Ini adalah Manchester United yang sebenar.”
David De Gea dan rakan-rakan bakal menanti kunjungan Brighton & Hove Albion pada hujung minggu ini bagi mengintai kemenangan keenam berturut-turut dalam kempen EPL.