England pada saingan Piala Dunia 2018 kali ini telah menunjukkan prestasi yang baik sebagai sebuah pasukan.
Mereka berjaya mara ke separuh akhir sebelum ditewaskan oleh Croatia di masa kecederaan.
Sepanjang Piala Dunia ini berlangsung, ada satu nama yang sering menjadi subjek kepada kritikan oleh media Inggeris sendiri iaitu Raheem Sterling.
Kritikan yang diterima beliau oleh media dan juga peminat England sendiri membuatkan beberapa pihak terpaksa tampil mempertahankan pemain tersebut seperti David Beckham dan juga Gary Neville.
Kini, rakan sepasukan beliau di Manchester City iaitu Kevin De Bruyne turut tampil mempersoalkan kritikan yang diterima Sterling.
“Saya tak faham kenapa mereka perlu kutuk orang negara mereka sendiri kerana apa yang mereka buat adalah untuk menang.”
“Saya rasakan Sterling sudah lakukan yang terbaik dalam perlawanan yang saya lihat.”
“Jelas sekali, kalau kita tak menjaringkan gol maka hasil perlawanan itu adalah berbeza, tetapi tak semua perkara mengenai bola sepak itu adalah mengenai jaringan.”
Belgium dan England akan bertemu sekali lagi dalam perlawanan penentuan tempat ketiga pada pagi Ahad jam 2 pagi waktu Malaysia.
Kedua-dua negara ini ada bertemu di peringkat kumpulan dengan De Bruyne dan Sterling tidak diturunkan dalam perlawanan ini.
De Bruyne berharap media Inggeris akan memberikan lebih penghargaan yang kepada Sterling.
“Harapnya pihak media akan boleh memberikan penghargaan yang Sterling patut terima.”
“Jelas sekali, beliau adalah seorang yang tenang sahaja. Beliau tetap berikan yang terbaik untuk England walaupun ketika dalam tekanan.”