Musim ini merupakan satu lagi musim yang sukar buat pasukan Sarawak.
Mereka kini ditangga ke-10 Liga Super selepas 15 perlawanan dengan mengutip 14 mata sahaja.
Rentetan kekalahan demi kekalahan dicatatkan Sarawak terutamanya rekod kekalahan di tempat sendiri yang cukup teruk, jurulatih mereka iaitu David Usop telah membuat keputusan untuk ‘berehat’.
Dalam satu pengumuman ringkas yang disiarkan di laman Facebook Sarawak FA, David mengumumkan yang beliau akan ‘berehat’ dari jawatan sebagai ketua jurulatih skuad tersebut.
Menurutnya, tindakan itu dibuat atas dasar profesional dalam dirinya selepas beliau merasakan beliau tidak lagi mampu menggalas tanggungjawab sebagai jurulatih Sarawak.
Dalam masa yang sama, David juga menjelaskan yang keputusannya itu bukanlah hasil desakan mana-mana pihak sama ada pihak pengurusan atau pun peminat tetapi ia keputusan beliau sendiri.
“Keputusan ini saya lakukan atas keputusan saya sendiri dan bukannya datang dari desakan mana-mana pihak.”
Difahamkan para penyokong Sarawak sudah mula hilang sabar dengan aksi pasukan mereka yang tidak seolah tidak bersaing hebat dalam usaha untuk menduduki kedudukan selesa dalam liga.
Hasil keputusan David, pembantu beliau iaitu Pangiran Bala bakal menggalas tugas sebagai pemangku jurulatih Sarawak.