Perancang tengah Manchester City, David Silva berkata beliau tidak pernah menyesal menolak tawaran untuk menyertai Barcelona dan Real Madrid satu ketika dahulu.
Malah pemain yang berasal dari Sepanyol ini menganggap pilihan untuk berhijrah ke England untuk menyertai Manchester City pada lapan tahun yang lalu adalah salah satu keputusan terbaik yang pernah dilakukan di dalam hidupnya.
Silva yang berusia 24 tahun pada ketika itu berhijrah ke Manchester City pada Julai 2010 daripada Valencia.
Walaupun mengakui ianya adalah impian bagi setiap pemain berdarah Sepanyol untuk beraksi bersama Barcelona atau Real Madrid, Silva berkata minat mendalam dari City untuk mendapatkan khidmat beliau pada ketika itu telah mempengaruhi keputusannya.
Dalam satu program kelolaan Premier League Show, Silva dipetik sebagai berkata:
“City mahukan saya. Mereka mulai menghubungi saya sejak Disember dan meminta saya untuk beraksi untuk mereka.
“Saya berfikir, ‘siapa mahukan saya? City mahukan saya, dan saya pun pergi.
“Pada ketika itu saya masih menetap bersama ibu bapa, dan mereka dalam proses bercerai. Ia adalah masa tepat untuk pergi dari Sepanyol dan mencari pengalaman baru.
“Ia akhirnya adalah keputusan dan pilihan yang tepat,” ujar Silva.
Silva telah membantu kelab Manchester itu menjuarai kejuaraan Liga Perdana Inggeris sebanyak tiga kali, tetapi kejuaraan Piala FA 2011 adalah yang paling bermakna dalam karier beliau setakat ini.
City menewaskan Stoke 1-0 di Wembley, bermakna Silva yang juga merupakan pemenang Piala Dunia dan dua kali juara Eropah menjuarai kejuaraan pertama daripada tujuh berikutnya di peringkat kelab.
“Kejuaraan Piala FA tersebut adalah titik permulaan kepada lebih banyak kejayaan di peringkat kelab.
“Apabila anda menang sekali, anda mahukan ia menjadi kebiasaan, dan ia adalah baik.
“Perkara sama berlaku kepada pasukan kebangsaan Sepanyol. Menang kejuaraan buat kali pertama, dan ia mengubah mentaliti anda untuk menang lebih banyak kejuaraan.
“Maka kejuaraan Piala FA tersebut adalah yag paling penting setakat ini,” jelas Silva.