Pemain tengah kebangsaan, David Rowley mengakui dirinya sedikit kecewa selepas beberapa peluang terbaik di hadapan gol tidak dapat diterjemahkan dalam bentuk jaringan.
Namun bagi beliau, kemenangan buat skuad kebangsaan lebih penting bagi memastikan peluang Malaysia ke pusingan seterusnya lebih terjamin.
Rowley diturunkan sebagai pemain utama dalam perlawanan menentang Laos malam tadi telah mempamerkan aksi begitu baik secara keseluruhan dan banyak membantu barisan pertahanan serta serangan terutamanya ketika separuh masa kedua.
Pada 45 minit awal permainan, pemain berusia 32 tahun ini bergandingan bersama bintang muda, Mukhairi Ajmal dan peranan beliau ditugaskan lebih banyak bermain sedikit bertahan bagi membantu barisan pertahanan daripada dibolosi oleh pihak lawan.
Namun kemasukan Brenden Gan dan Lee Tuck di awal separuh masa kedua membolehkan dirinya membantu barisan hadapan dengan lebih kerap.
Buktinya, beberapa peluang terbaik terhidang buat pemain Sri Pahang ini namun seperti katanya, bola tersebut tidak mahu masuk.
“Sudah tentu saya sedikit kecewa kerana tidak dapat menjaringkan gol kerana saya mempunyai banyak peluang di dalam kotak penalti namun bola tidak mahu masuk ke dalam jaring.
“Tetapi secara keseluruhan saya amat berpuas hati dengan prestasi malam ini kerana dapat memberi aksi terbaik dan memastikan kemenangan serta kita tidak bolos lagi setakat ini,” katanya.
Tidak dapat mencetak jaringan, beliau cuba mencari beberapa detik untuk membantu rakan sepasukan menjaringkan gol namun malam itu mungkin bukan hari begitu bertuah buat dirinya.
Menurut Rowley, prestasi skuad kebangsaan di separuh masa kedua lebih garang jika dibandingkan dengan separuh masa pertama dan Malaysia dapat menjaringkan empat gol penting kerana faktor jaringan dalam kejohanan ini sangat penting.
Apatah lagi Vietnam dalam perlawanan pertama mereka telah mencatat kemenangan 6-0 ke atas lawan sama dan kerana faktor itu, Malaysia perlu mencari jaringan besar juga.
Melihat dari apa yang diperkatakan oleh pemain kelahiran Australia ini, perlawanan menentang Vietnam di Hanoi nanti mereka akan cuba mencari mata dan mengelak dari pulang tangan kosong.
Secara ringkas, sekurang-kurang satu mata di tempat lawan buat Harimau Malaya amat penting dari perlawanan tersebut.