Quantcast

KAJIAN & FAKTA

David Rowley: “Pemain Di Malaysia Kurang Hormat Pada Masa”

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian.” (Surah al-Asr : 1-2).

Itu adalah petikan ayat Al-Quran yang menerangkan perihal betapa pentingnya masa. Dan dalam pepatah lama Melayu juga ada menunjukkan kepentingan masa menerusi, ‘Masa itu emas‘.

Dalam perkongsian terbaru pemain Kedah, David Rowley di laman Youtube peribadinya, anda akan dapat mendengar perkongsiannya mengenai pengurusan masa dalam bola sepak dan apa yang beliau pernah lalui di Jerman dan telah belajar mengenainya.

Pemain di Malaysia tidak menepati masa?

“Di Malaysia, ada dikalangan pemain-pemain di sini yang tidak menepati masa. Saya masih ingat ketika pertama kali datang ke sini, saya turun sedikit awal untuk latihan dan hanya ada satu, dua pemain di padang latihan,” ujarnya dalam perkongsian tersebut.

Ia adalah sesuatu yang mengejutkannya dan baginya ia adalah sesuatu yang tidak boleh diterima apabila pemain-pemain turun lewat untuk sesi latihan mahupun pada hari perlawanan. Ini sangat berbeza dengan apa yang telah dilaluinya ketika di Jerman.

david rowley pdrm

FOTO: Stadium Astro

Pasukan pertama yang disertainya di Malaysia adalah PDRM pada permulaan musim 2018 sebelum berhijrah ke Negeri Sembilan pada jendela perpindahan kedua di pertengahan musim 2018.

“Bagi saya itu adalah perbezaan ketara antara mentaliti pemain di Jerman dan Malaysia. Menghormati dan menepati masa serta profesionalisma. Dan itu adalah antara perkara yang saya masih kekalkan apabila saya datang ke Malaysia. Ianya bagus untuk sentiasa menepati masa dan jangan sesekali lewat,” jelasnya lagi.

Bagaimana David Rowley di Kelantan

Cakap tak serupa bikin? Rasanya itu kenyataan yang tidak tepat untuk cerminan dirinya apabila beliau sendiri telah menekankan mengenai kepentingan untuk para pemain menepati masa.

Selepas setengah musim bersama Negeri Sembilan, Kelantan hadir menandatanganinya menerusi Presiden, Bibi Ramjani Ilias Khan untuk saingan musim 2019 sebelum permasalahan gaji timbul seterusnya memaksa pemain kelahiran Australia ini memilih untuk bersetuju dengan tawaran Aidil Sharin Sahak untuk ke Kedah.

Menurut perkongsian salah seorang penulis bebas, Zuraimi Zukri, ketika di Kelantan, pemain yang berketinggian 1.85 meter ini adalah seorang yang sangat menitik beratkan soal masa. Bukan itu sahaja, David Rowley adalah seorang yang ringan tulang.

PEMAIN MALAYSIA MEMPUNYAI MASALAH UNTUK MENEPATI MASA – DAVID ROWLEY "Ketika saya bermain bersama Tennis Borussia…

Posted by Zuraimi Zukri on Friday, August 23, 2019

“Masa dia (David Rowley) di Kelantan benda ni jadi faktor baik untuk pasukan. Kena ada orang macam ni dalam pasukan. Memang betul apa dia cakap. Dia buktikan dialah pemain paling awal datang dan paling lewat balik sepanjang berada dalam pasukan ini. Selalu tolong kitman kemaskan barang latihan.”

Apa yang dipelajarinya di Jerman

Sebelum tiba di Malaysia, David Rowley beraksi di Jerman untuk beberapa tahun iaitu bermula pada tahun 2016 sehingga hujung tahun 2017. Sebelum itu, beliau pernah beraksi untuk beberapa kelab di negara kelahirannya, Australia, Thailand dan Luxembourg.

Ketika beraksi bersama sebuah kelab divisyen 5 Jerman, Tennis Borussia Berlin, beliau telah membuat 18 penampilan dan menghasilkan 4 gol buat kelab tersebut. Dan di situlah dia mempelajari isi pati penting mengenai pengurusan masa yang telah mengajarnya untuk menghormati dan menepati masa.

“Ada satu perlawanan di tempat lawan ketika saya baru menyertai Tennis Borussia Berlin dan saya lihat di GPS, ia akan memakan masa dalam 35 minit untuk ke lokasi perlawanan. Saya bertolak sejam awal bagi memastikan saya tidak akan terlewat.

david rowley kedah

FOTO: Kedah FA

“Trafik tiba-tiba menjadi sangat sesak dan saya terlewat tiba ke sana dalam 25 minit. Dan apabila saya masuk ke bilik persalinan, semua pemain telah bersedia untuk turun ke padang.

“Saya tidak diturunkan untuk perlawanan tersebut dan jurulatih memberitahu saya selepas perlawanan tiada alasan untuk tiba lewat dan itulah punca saya tidak diturunkan,” ceritanya sambil menyatakan itulah pelajaran terbesarnya dalam kariernya.

Penutup

Pernah dengar kisah yang diluahkan oleh bekas pertahanan import Selangor, Robert Cornthwaite mengenai kem Selangor? Boleh rujuk artikel Semuanya BOLA yang diterbitkan pada 2017 ini.

Itu adalah serba sedikit perkongsian oleh David Rowley mengenai kepentingan menghormati dan menepati masa. Mungkin atas faktor sikapnya, pemain kacukan Australia-Malaysia ini selalu mendapat tempat dalam kesebelasan utama Kedah. Semua tahu apakah ciri-ciri pemain yang akan ‘memikat’ hati Aidil Sharin.

Biarpun ada cakap-cakap kurang enak yang mengatakan dia hanya pandai ‘buat video’ – merujuk kepada video-video perkongsiannya di Youtube, namun menerusi perkongsiannya ini, kita dapat lihat bagaimana pandangan pemain yang datang daripada budaya bola sepak luar dan melihat budaya bola sepak di Malaysia.

Seperti kata David Rowley, “Ketara perbezaannya.

Kredit Featured Image: Kedah FA