Pemain tengah kacukan Malaysia-Australia, David Rowley berharap dapat mengikut jejak langkah Brendan Gan menyertai skuad Harimau Malaya.
Jelas pemain berusia 29 tahun yang menikmati kemuncak prestasi bersama Kedah dengan dua gol pada peringkat suku akhir Piala Malaysia menentang PKNP FC, dia mengakui semakin positif dengan prestasinya ketika beraksi di atas padang.
Jelas Rowley, dia menjadikan Brendan sebagai antara pemain idolanya selepas menyusuri kesukaran pemain itu bangkit daripada karier ekoran dilanda pelbagai kecederaan serius.
“Gan adalah seorang yang pemain cukup mengagumkan kerana dia telah lalui dua kali pembedahan kecederaan ACL tetapi dia berjaya bangkit serta berada di tahap prestasi terbaik.
“ Dia sering sahaja menjaringkan gol yang cantik bersama Perak dan saya harap boleh bergandingan dengannya dalam skuad kebangsaan yang menjadi impian saya sejak dahulu.
“Malah pemain-pemain kacukan lain seperti Matthew Davies dan Corbin Ong juga menjadi sumber motivasi saya dalam mengejar cita-cita ini selain kagum dengan kemampuan pemain tempatan lain seperti Safawi Rasid, ” katanya.
Rowley yang dilahirkan di Brisbane, Australia memperoleh kerakyatan pada tahun 2017 dengan ibunya berasal dari Malaysia sementara ayah berasal dari England.
Dia pernah berkelana ke Jerman, Luxembourg dan Thailand selain Australia sebelum PDRM menjadi destinasi pertama pada musim 2018 namun gagal untuk mendapat tempat.
Pada pertengahan musim, Rowley menyertai Negeri Sembilan namun dia bertindak sebagai pemain di bahagian posisi serangan tetapi hanya lebih kerap bertindak selaku pemain gantian.
Bagaimanapun, dia bersyukur keputusannya berhijrah ke Kelantan pada awal musim ini menjadi titik tolak dalam kariernya apabila jurulatih Kelantan ketika itu, Marko Kraljevic bertindak menukarnya beraksi daripada posisi penyerang kepada bahagian tengah.
“Ketika bersama Kelantan, Marko dapat mengesan kemampuan saya bermain di bahagian tengah yang berperanan membantu pada aspek bertahan dan beliau banyak membantu agar saya cepat sesuaikan diri dengan posisi baharu ini.
“Selepas Marko tidak ada lagi, Yusri Che Lah tidak ketinggalan banyak mengajar saya dan selepas datang ke Kedah, kebetulan jurulatih (Aidil Sharin Sahak) bermain di posisi ini semasa bergelar pemain.
“Beliau (Aidil) banyak memberikan nasihat dan panduan dalam tiap perlawanan dan tanpa mereka semua ini, tidak mungkin saya akan jadi begini pada hari ini.
“Saya mahu ucapkan terima kasih kepada mereka semua yang bertanggungjawab naikkan karier selepas sedikit bergelut pada waktu permulaan saya tiba di sini, ” katanya.
Kredit foto: Zulkifly Bin Abdul Hamid I Asiana