Pemain pertahanan baharu Arsenal, David Luiz menegaskan kehadirannya bersama The Gunners adalah untuk membantu kelab tersebut bersaing bagi mendapatkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa Arsenal mampu mencabar semua kejuaraan yang disertai pada musim ini.
Luiz yang sebelum ini beraksi untuk Chelsea membuat keputusan mengejut melangkah ke Stadium Emirates bagi kembali bekerjasama dengan Unai Emery.
”Kelab ini (Arsenal) mempunyai potensi untuk menyinar seperti mereka pernah buktikan pada masa lalu. Kami mempunyai banyak bakat dan pemain dengan kualiti yang baik.”
‘”Saya datang ke sini dengan cita-cita untuk bersaing dalam mendapatkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris, juga untuk kejohanan yang lain.”
”Ia sama seperti saya berada bersama pasukan lain, tetapi ia tidak akan sentiasa mudah, terdapat beberapa situasi yang sukar.”
”Saya akan berusaha untuk melakukan yang terbaik pada setiap perlawanan dan cuba untuk membantu semua orang untuk percaya kerana saya merasakan kelab ini mempunyai potensi.”
”Bola sepak adalah berkenaan penamat bukannya permulaan dan kami akan cuba untuk bersaing hingga ke akhirnya.”
Rekod kemenangan Arsenal dalam saingan liga lebur pada aksi bertemu Liverpool kelmarin apabila mereka kecundang 1-3 pada pertemuan di Anfield tersebut.
Lebih malang kekasaran dilakukan David Luiz terhadap Mohamed Salah menghadiahkan sepakan penalti yang kemudiannya disempurnakan pemain kelahiran Mesir itu.
Kredit foto: Arsenal