David Luiz akhirnya menamatkan spekulasi yang menyelubungi masa depan beliau dengan menandatangani kontrak baharu untuk kekal bersama Chelsea.
Chelsea telah mengumumkan pada Jumaat, bahawa pemain pertahanan tersebut telah melanjutkan kontrak untuk kekal di Stamford Bridge sehingga musim 2020/21 berakhir.
Luiz tampil di dalam 48 perlawanan di semua pertandingan untuk Chelsea pada musim ini dan telah menjaringkan tiga gol. Ini menjadikan beliau sebagai tonggak utama bahagian pertahanan di bawah kendalian Maurizio Sarri setelah karier pemain itu di Chelsea seperti akan berakhir ketika era Antonio Conte.
Musim ini Luiz berjaya membantu Chelsea mara ke perlawanan akhir UEFA Europa League (UEL) dimana The Blues akan berhadapan Arsenal di Baku, Azerbaijan pada 30 Mei akan datang.
“Saya amat gembira di sini dan juga kerana diberikan peluang untuk kekal. Saya sayangkan kelab ini, dan masih memiliki cita-cita seperti seorang pemain muda,” ujar Luiz melalui satu kenyataan.
“Ia sangat bermakna apabila berjaya mara ke satu lagi perlawanan akhir pertandingan eropah. Dan kita [Chelsea] masih berpeluang menamatkan musim ini sebagai tiga pasukan teratas di Liga Perdana Inggeris.
“Saya akan terus melakukan yang terbaik untuk membantu pasukan ini.”
Luiz tampil di dalam 35 perlawanan liga pada musim ini – jumlah perlawanan terbanyak sejak pertama kali menyarung jersi Chelsea pada 2011.
Luiz sekali lagi menyertai Chelsea pada 2016, selepas dua musim bersama Paris Saint-Germain.
Sepanjang tempoh bersama Chelsea, Luiz telah tampil di dalam 246 perlawanan, menjaringkan 18 gol dan telah menjuarai trofi Liga Perdana Inggeris, Piala FA, UCL dan juga UEL.