Tiada keraguan lagi bahawa David de Gea adalah salah seorang penjaga gol terbaik dunia – dan merupakan pemain penting di dalam skuad kendalian Jose Mourinho bersama Manchester United.
Aksi penjaga gol berusia 28 tahun itu ketika menentang Young Boys dalam perlawanan UEFA Champions League pada awal pagi Rabu lalu – menyelamatkan beberapa cubaan bahaya lawan adalah sebab utama mengapa Mourinho enggan pemain itu meninggalkan Old Trafford pada jendela perpindahan musim panas akan datang.
Kontrak akan tamat
Kontrak De Gea bersama Manchester United akan tamat pada musim panas akan datang. Ini bermakna penjaga gol yang memiliki 38 caps antarabangsa ini dibenarkan untuk melakukan rundingan dengan kelab lain mulai Januari hadapan – berdasarkan peraturan Bosman.
Manchester United mempunyai sedikit kelebihan untuk memaksa penjaga gol tersebut kekal bersama mereka selama semusim lagi, kerana mempunyai klausa di dalam kontrak sebelum ini yang membenarkan kelab Manchester itu melanjutkan kontrak De Gea selama setahun – sekiranya rundingan gagal mencapai persetujuan.
Namun langkah tersebut bukan penyelesaian jangka masa panjang kerana masih boleh kehilangan penjaga gol tersebut tanpa mendapat sebarang bayaran pada 2020. Langkah untuk mengikuti klausa perjanjian tersebut dilaporkan oleh Daily Mail sebagai langkah untuk mengelakkan kerugian – sebelum United mengambil langkah menjual penjaga gol itu pada nilai sekitar £75 juta pada musim panas akan datang.
Sehingga ke hari ini, De Gea dilaporkan telah menolak tawaran dengan pendapatan setinggi £275,000 seminggu untuk dikekalkan di Old Trafford.
Mahu kekal dengan syarat
David de Gea terbuka dengan idea kekal di Old Trafford – tetapi penjaga gol antarabangsa Sepanyol itu mempunyai terma dan syarat beliau tersendiri untuk berbuat demikian.
Menurut laporan oleh Goal, dua syarat telah dikemukakan oleh De Gea kepada wakil beliau yang melakukan perbincangan dengan pengurusan tertinggi Manchester United untuk terus kekal di Old Trafford.
Pertama, penjaga gol itu mahukan kontrak jangka masa panjang selama lima tahun. Kedua, pendapatan beliau haruslah bernilai £350,000 seminggu – menyamai jumlah pendapatan tertinggi di kalangan pemain di Old Trafford yang diperolehi oleh Alexis Sanchez.
Ejen kepada De Gea juga turut memberikan faktor kes seperti tawaran lumayan yang diterima oleh Luke Shaw dan Marouane Fellaini baru-baru ini sebagai faktor utama mengapa penjaga gol tersebut wajar menerima pendapatan setinggi itu.
Namun sehingga kini, kedua-dua pihak masih buntu untuk menemui persetujuan untuk tuntutan tersebut sehingga timbulnya spekulasi De Gea akan menyertai sama ada Juventus atau pun Paris Saint-Germain (PSG).
Selain daripada tempoh kontrak dan jumlah pendapatan, De Gea turut mahu mengetahui dengan jelas hala tuju kelab tersebut pada masa hadapan sebelum bersetuju menandatangani sebarang kontrak baharu untuk terus kekal.
Di sebalik kesukaran untuk meyakinkan De Gea untuk terus kekal di Old Trafford, Manchester United dilaporkan terus positif untuk meyakinkan penjaga gol itu kekal sebagai penjaga gol utama mereka untuk tempoh jangka masa yang lama.
De Gea aset penting United
Di sebalik prestasi serba tidak menentu sejak musim lalu, persembahan De Gea dianggap sebagai salah satu perkara positif dari musim yang sukar di bawah kendalian Jose Mourinho.
Sejak menyertai Manchester United pada 2011 dengan tanda harga £18.9 juta dari Atletico Madrid, penjaga gol itu telah meraih empat trofi kejuaraan dalam pelbagai pertandingan.