Bekas bintang Manchester United, David Beckham menyebut bahawa pengurus kelab itu, Ole Gunnar Solskjaer telah melakukan tugas yang cemerlang ketika mengendalikan The Reds Devils.
Pengurus dari Norway itu mencetus inspirasi kebangkitan United sejak mula mengambil alih tugasan itu daripada Jose Mourinho, yang dipecat pada Disember lalu.
Sejak melatih pasukan, Red Devils sudah meraih 14 kemenangan dalam 19 perlawanan dan turut mengetuai pasukan mara ke suku akhir Liga Juara-Juara.
Selepas cemerlang mengendalikan pasukan dalam tempoh tugasannya selaku pengurus sementara, pengurusan tertinggi Manchester United telah bersetuju melantik Solskjaer sebagai pengendali tetap dengan ikatan kontrak tiga tahun sehingga 2022.
Kerja bagus
Beckham dan Solskjaer amat mengenali antara satu sama lain. Kedua-duanya pernah berada dalam satu pasukan selama hampir lapan tahun dibawah bimbingan Sir Alex Ferguson bermula pada tahun 1996 hingga 2003.
Sebagai rakan sepasukan, Beckham amat berbangga dan memuji kejayaan Solskjaer memimpin United keluar dari zon permasalahan yang dihadapi pasukan selama ini.
“Dia [Solskjaer] dicintai oleh para peminat dan para pemain dan setiap individu yang ada di kelab ini,” kata Beckham.
“Setakat ini, dia telah melakukan pekerjaan yang bagus dan itu akan berterusan. Ini bagus untuk kelab dan bagus untuknya.”
Kelmarin, Solskjaer telah meraikan perlawanan pertamanya sebagai pengurus sepenuh masa Manchester United dengan kemenangan 2-1 keatas Watford di Old Trafford.
Marcus Rashford dan Anthony Martial mencipta nama sebagai penjaring dengan mengesahkan kemenangan sekali gus membawa Red Devils ke tangga keempat Liga Perdana Inggeris (EPL).
Selepas 31 perlawanan, United ketika ini mengumpul 61 mata, turut berkongsi mata dengan pasukan tangga ketiga, Tottenham Hotspur.