Ketika ada segelintir pihak tidak berpuas hati dengan tindakan tegas Malaysian Football League (MFL) terhadap pasukan bermasalah sehingga melabel badan pentadbir liga tempatan itu sebagai tidak profesional, Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Datuk Windsor John pula berpendapat sebaliknya.
Beliau yang cukup berpengalaman dalam kancah bola sepak tempatan menyifatkan tindakan MFL itu bukan sahaja wajar diambil malah menggesa agar hukuman lebih drastik diambil jika perlu demi kebaikan bola sepak tempatan.
Kata Windsor, perjuangan untuk memartabatkan bola sepak tidak semudah seperti yang disangka oleh mana-mana pihak jika ada segelintir pasukan Liga Malaysia tidak mengamalkan sikap profesionalisme.
Tambah Windsor, beliau menggesa MFL untuk memikirkan tindakan lebih tegas supaya visi dan misi MFL dapat dicapai seperti yang dirancangkan.
“Semua orang mahu melihat Liga Malaysia mahu jadi seperti Liga Korea, Liga Jepun atau La Liga (Sepanyol) tetapi hakikatnya adakah kita sedar pasukan-pasukan itu sendiri mencapai tahap yang dimahukan?
“Sebagai contohnya, satu pasukan yang bagus harus memiliki padang yang baik dan apakah langkah yang harus diambil oleh MFL sekiranya pasukan-pasukan tidak mengikuti peraturan?
“Secara peribadi, saya menganggap MFL banyak memberi pertimbangan kepada pasukan yang bertanding tapi mereka perlu juga tegas dalam banyak perkara. Banyak yang berlaku pada awal musim ini di mana ada pasukan yang berdepan masalah kewangan masih berada dalam Liga Malaysia.
“Contoh lain, jika hanya ada lapan pasukan yang menepati status profesional dengan memenuhi semua kriteria yang ditetapkan, tidak salah untuk MFL menganjurkan liga dengan 8 pasukan sahaja kerana ini kebaikan bola sepak Malaysia.
“Kalau kita sanggup tanggung kesakitan untuk tempoh jangka masa terdekat demi kebaikkan jangka masa panjang, apa salahnya? Jadi, saya menganggap tindakan yang dikeluarkan oleh MFL bukanlah untuk menghukum sebaliknya mahu mendidik pasukan ke arah lebih berkualiti.
“Peraturan-peraturan digubal untuk melindungi integriti liga. Kalau peraturan dilanggar tindakan harus diambil demi kebaikan bolasepak negara,” ujarnya.
Untuk rekod, demi melindungi kepentingan liga MFL pada 20 Februari lalu membuat keputusan menyingkirkan Perlis daripada saingan Liga Premier kerana gagal mengatasi masalah kewangan yang meruncing meskipun diberi masa untuk menyelesaikannya.
Semalam, MFL mengumumkan tujuh pasukan Kuala Lumpur, Felda United, Melaka yang beraksi dalam Liga Super dan Kelantan, PDRM, Sarawak, Pulau Pinang (Liga Premier) dikenakan tindakan pemotongan sebanyak 50 peratus daripada jumlah geran bagi musim 2019 di atas kegagalan mematuhi tarikh akhir pendaftaran pasukan pada 31 Disember 2018.
Bagaimanapun lima daripada tujuh pasukan iaitu Kuala Lumpur, Kelantan, Pulau Pinang, PDRM dan Sarawak turut dikenakan denda sekatan perpindahan bagi jendela perpindahan kedua bermula pada 2 Mei depan kerana mengulangi kesalahan sama seperti tahun lalu.
Namun MFL tidak terus menghukum sebaliknya kesemua pasukan yang dikenakan hukuman itu berhak membuat rayuan dalam tempoh 7 hari iaitu sehingga 5 petang 29 April ini.
Kelantan, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, PDRM dan Sarawak serta Melaka juga diwajibkan untuk menyerahkan dokumen/pelan kepada MFL yang menunjukkan kestabilan kewangan pasukan, jumlah pendapatan pasukan bagi musim 2019 dan bukti serta dokumen yang menunjukkan semua tunggakan hutang telah diselesaikan dalam tempoh 30 hari daripada pengumuman ini dibuat iaitu pada atau sebelum 5 petang 22 Mei ini.
Sekiranya dokumen-dokumen tersebut masih tidak diserahkan dalam tempoh yang diberikan, pemotongan sebanyak 3 mata akan dikenakan kepada pasukan terbabit.
Kredit foto: AFC