Quantcast

LIGA MALAYSIA

Datuk Seri Ahmad Faizal Datang Ke Sesi Latihan Untuk Naikkan Semangat Sang Seladang

Menteri Besar Perak – merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA)- Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyatakan rasa tidak puas hati beliau ke atas prestasi semasa pasukan Perak.

Ini selepas Perak hanya menang 1 daripada 5 perlawanan Liga Super setakat ini. Seterusnya, skuad Seladang hanya menjaringkan 4 gol daripada 5 perlawanan.

Lantaran itu, Ahmad Faizal menekankan, salah satu sebab kehambaran prestasi Perak adalah kerana kegagalan barisan serangan menjaringkan lebih banyak gol.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahmad Faizal berkata: “Sebenarnya, saya masih tidak berpuas hati dengan prestasi para pemain Perak. Kita hanya menang sekali dan barisan serangan kita masih tumpul.”

Di dalam kesibukan beliau dengan rutin harian, Datuk Ahmad Faizal Azumu meluangkan masa untuk datang ke sesi latihan pasukan Perak semalam.

Menurut Datuk Seri Ahmad Faizal, kehadiran beliau di pusat latihan Perak adalah untuk menaikkan lagi semangat para pemain agar berlatih dengan lebih bersungguh-sungguh bagi memperbaiki prestasi.

Ahmad Faizal menggesa agar Perak memperbaiki mutu permainan mereka dan mempamerkan aksi cemerlang dalam perlawanan akan datang. Ini penting untuk Perak kembali ke landasan yang sepatutnya. Beliau juga berharap agar para penyokong Perak terus memberikan sokongan kepada pasukan.

Beliau menambah lagi: “Kita perlu memastikan Perak mampu mencipta lebih banyak kemenangan. Dan untuk para penyokong Perak, teruskan menyokong pasukan kita.”

Selepas 5 perlawanan, Perak kini berada di tangga ke-7 dalam carta Liga Super Malaysia 2019.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!