Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin menegaskan bahawa setiap negara Asia Tenggara (ASEAN) akan meningkatkan kerjasama dalam mencari jalan hala tuju bola sepak pasca COVID-19.
Datuk Haji Hamidin berkata semua pihak harus ada suara dalam mencari jalan terbaik buat industri bola sepak untuk kekal makmur seandainya COVID-19 tidak dapat dibendung sepenuhnya.
Akibat COVID-19, Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) pada Julai lalu mengumumkan penundaan semua baki semua kejohanan bola sepak dan futsal di bawah naungannya, termasuk Piala AFF yang ditunda ke April hingga Mei tahun depan.
“Kami mengharapkan kerjasama yang lebih erat dalam kalangan negara anggota AFF agar dapat membantu ahli gabungan menaikkan standard bola sepak Asia Tenggara terutama ketika berdepan senario ketidaktentuan COVID-19,” katanya.
Datuk Haji Hamidin berkata demikian selepas turut serta dalam Kongres AFF ke- 27 yang diadakan secara maya semalam.
Kongres yang diadakan menerusi persidangan video atas talian itu turut disertai Timbalan Presiden FAM, Dato’ Sri Subahan Kamal selaku Ahli Majlis AFF dan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, yang juga Ahli Majlis Gantian AFF.
Antara agenda lain turut dibincangkan ialah mengenai penyata kewangan untuk tahun berakhir 31 Disember 2019 dan laporan aktiviti badan induk itu sepanjang 2020.