Menjelang sepak mula Liga Malaysia (Liga M) bermula pada malam ini, tiba-tiba arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan kemungkinan aksi minggu pertama antara Terengganu FC dan Sri Pahang bakal ditunda.
Bermula dengan perkongsian di InstaStory penolong jurulatih Terengganu, Hairuddin Omar, jelas ia adalah gambaran awal yang sudah diberi perlawanan tersebut telah ditunda. Tulisnya, “Ramai positif, ‘game’ tunda.”
Tidak dapat dipastikan sama ada pemain dari kem Terengganu atau Sri Pahang yang ‘sangkut’, namun salah satu perkongsian perbualan daripada WhatsApp Group melibatkan pemain tengah Sri Pahang, Nor Azam Azih, pula memberi gambaran yang ramai pemain Tok Gajah telah disahkan positif dan terpaksa menjalani kuarantin.
“Assalamualaikum semua. Baru tadi Azam dapat call yang player ramai yang positif covid termasuk Azam. Sekarang ni, Azam kena kuarantin dalam rumah. Alhamdulillah, semua takde kontak rapat dengan Azam.”
Perkongsian Nor Azam Azih menerusi tangkap layar sebuah WhatsApp Group
Turut dimaklumkan, dua aksi awal Sri Pahang terpaksa ditunda termasuklah perlawanan berdepan Selangor FC pada Selasa. Bagaimana pula dengan situasi terkini untuk perlawanan lain yang bakal bermula malam ini?
Setakat ini belum ada kenyataan rasmi daripada pihak Malaysian Football League (MFL) mengenai pembatalan perlawanan tersebut yang dijangka akan dilangsungkan di Stadium Darul Makmur pada malam esok (Sabtu).
Setakat ini, cuma dimaklumkan yang dua perlawanan Liga Premier terpaksa ditunda akibat Covid-19. Menurut laporan Utusan Malaysia, penundaan tersebut melibatkan perlawanan Selangor FC 2 menentang skuad Projek FAM-MSN dan PDRM FC berdepan Kuching City di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 5 dan 7 Mac.